Friday, October 11, 2013

Hari Kedua Bengkel Jom Kenali SPRUMS

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera. Setelah seharian mendengar slot ceramah bersama penceramah-penceramah jemputan, kini masa untuk aktiviti santai. Aktiviti Explorace diadakan pada hari Ahad, 6 Oktober 2013. Kali ini peserta-peserta dibahagi di dalam kumpulan baru sebanyak 3 kumpulan. Setiap kumpulan diberikan klu untuk ke setiap check point yang telah ditetapkan.

Pemberian klu kepada setiap wakil kumpulan.

Check point pertama setiap kumpulan adalah berlainan mengikut klu yang diterima. Hanya 3 check point sahaja untuk aktiviti ini. Di setiap check point pula peserta perlu menyelesaikan task yang diberi penjaga check point tersebut.

Check point yang telah ditetapkan ialah Sekolah Perniagaan Ekonomi, Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) serta Outdoor Development Centre (ODEC). Disebabkan kekeliruan pemahaman dengan klu yang diberikan, salah 1 daripada kumpulan tersebut telah terlajak hingga ke UMS Peak dan ada juga yang telah penat lelah mendaki untuk ke Bangunan Canselori.

Walau apa pun cabaran yang dialami ketika itu, syukur kerana setiap peserta dapat atasi bersama-sama sehingga berjaya bertemu semula di tempat pertemuan pertama kali iaitu di Anjung Siswa, UMS. Di mana peserta yang tidak pernah sampai ke Bangunan Canselori dapat merasa menaiki hingga ke atas sana.

Gambar sepanjang aktiviti Explorace:




 Permulaan Explorace.

 Kumpulan yang tersalah check point di Bangunan Canselori.

 Di Outdoor Development Centre (ODEC)

Di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP)



 Ucapan dari Ketua Sekretariat, Abdul Khadir bin Mohmad Adli.

 Pemberian cenderahati daripada Ketua Sekretariat kepada Timbalan Ketua Sekretariat Cawangan Kampus Sandakan, Nursyuhada bt. Mohamad Zaini.
Pemberian cenderahati daripada Ketua Sekretariat kepada Timbalan Ketua Sekretariat Cawangan Kampus Labuan, Muhamad Nur Syafik.

Antara peserta-peserta yang telah menjayakan Bengkel Jom Kenali SPRUMS.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah terlibat dalam menjayakan Bengkel Jom Kenali SPRUMS ini. Semoga ukhwah yang baru terjalin ini dapat dijaga bersama, pengalaman yang diperoleh harap berguna di masa akan datang, kenangan disimpan untuk dikenang bersama dan setiap pengetahuan dapat diguna pakai dengan sebetulnya.

"BERSAMA KITA MEMBANTERAS RASUAH, ANDA BOLEH MELAKUKAN PERUBAHAN"

Hari Pertama Bengkel Jom Kenali SPRUMS

Assalammualaikum. Salam Sejahtera. Salam 1 Malaysia. Salam Eco Campus. Salam Integriti dan Anti Rasuah.

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnianya, dapat kami, Sekretariat Pencegahan Rasuah UMS melaksanakan Program Kedua kami iaitu Bengkel Jom Kenali SPRUMS pada 5 & 6 Oktober yang lepas. Bengkel ini melibatkan semua anggota dan rakan sekretariat dari Kampus Induk, Kampus Sandakan serta Kampus Labuan.

Antara objektif bengkel ini ialah:

1. Memperkenalkan SPRUMS kepada semua mahasiswa dan mahasiswi serta warga Universiti Malaysia Sabah.

2. Menarik minat dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi serta warga UMS untuk menyertai dan menganggotai ahli SPRUMS.

3. Memberi nilai faedah kepada golongan belia warga dan mahasiswa/i UMS tentang peranan mahasiswa/i sebagai pendukung wawasan dan pemimpin negara pada masa hadapan.

4. Meningkatkan kesedaran para mahasiswa dan mahasiswi serta warga UMS terhadap isu rasuah terutamanya dalam organisasi.


Antara pengisian sepanjang bengkel ini, mahasiswa dan mahasiswi didedahkan tentang apa itu rasuah, jenis-jenis kesalahan, serta tindakan yang perlu diambil jika terdapat pesalah rasuah di sekeliling mereka. Di sini, mahasiswa/i dapat menyuarakan persoalan yang selama ini mungkin tidak terjawab disebabkan tidak semua kita sedar kemungkinan apa yang kita lakukan tergolong dalam kesalahan rasuah. Slot ini telah dikendalikan oleh Penyelaras dari SPRM, Y. Brs. Penolong Penguasa Janet @ Tay Ling Ling binti Mait, Pegawai Unit Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Sabah.

Slot 1 bersama Pn. Janet.

Seterusnya, peserta-peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dalam sesi Ice-Breaking. Daripada sesi ini, peserta-peserta dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih jauh lagi. Sesi ini sedikit sebanyak merapatkan ukhwah selaras dengan objektif yang ingin dicapai.

Sesi mengenali antara satu sama lain.

Slot 3 telah diisi dengan Slot tentang Etika Protokol, Urusetia, Jemputan, Usahasama, Pengangkutan, Logistik dan Teknikal bersama En. Mohammad Norazmi bin Haris daripada Bahagian Perhubungan Korporat, Universiti Malaysia Sabah. Melalui slot ini, para peserta lebih ditekankan kepada protokol disebabkan protokol adalah yang paling dititikberatkan dalam apa-apa majlis sama ada formal atau tidak formal.

Sesi bersama En. Mohammad Norazmi dalam menyusun kedudukan dif-dif kehormat di dalam Majlis Konvokesyen.

Slot seterusnya ialah mengenai Pengurusan Kewangan, Makanan, Cenderahati dan Pameran yang telah dikendalikan oleh Miss Laura Jeffred, Penolong Akauntan, Jabatan Bendahari, Universiti Malaysia Sabah. Melalui slot ini, mahasiswa/i dapat belajar tentang cara-cara untuk membuat permohonan kewangan dari Jabatan Bendahari UMS. Proses-proses serta apa yang diperlukan dalam permohonan itu turut ditunjuk ajar.


Slot terakhir yang telah dikendalikan menyentuh tentang pengurusan surat-menyurat, laporan dan minit mesyuarat. Dalam slot ini lebih ditekankan tentang bagaimana format surat yang tepat yang boleh digunakan dalam mengendalikan, memohon sumbangan dan sebagainya dalam pelbagai program. Melalui slot ini, sedikit sebanyak mahasiswa/i sedar akan pentingnya format dalam menulis surat kerana perkara ini yang dilihat terlebih dahulu sebelum gerak kerja dapat dipantau.

***
Pada waktu malam pula, aktiviti santai melibatkan semua peserta telah dikendalikan. Para peserta dibahagi mengikut Sektor masing-masing; Sektor Ceramah, Sektor Pameran, Sektor Seminar, Bengkel & Forum, Sektor Perundingan & Komuniti, Sektor Media & Data serta Sektor Aktiviti Keagamaan. Pihak pengurusan juga dikhaskan dalam kumpulan yang lain. Pihak pengurusan ini terdiri daripada Majlis Tertinggi SPRUMS. Setiap sektor diminta melakukan persembahan sempena Malam Kebudayaan.

 Kumpulan Pengurusan dan Sektor Perundingan dan Komuniti

 Kumpulan Sektor Media & Data

 Kumpulan Sektor Aktiviti Keagamaan dan Sektor Seminar, Bengkel dan Forum


Selesai Malam Kebudayaan, para peserta dijamu selera. Dengan itu, berakhirlah hari pertama Bengkel Jom Kenali SPRUMS yang telah dikendalikan sepenuhnya di Anjung Siswa, Universiti Malaysia Sabah. Terima kasih kepada semua yang terlibat. "UKHWAH DIJALIN, SEMANGAT DIPIMPIN, RASUAH JANGAN DIBIKIN"

Tuesday, October 1, 2013

Bengkel Jom Kenali SPRUMS



Assalammualaikum, Salam Sejahtera, Salam Integriti dan Anti Rasuah.

Telah pun masuk bulan Oktober. Terasa begitu cepat masa berlalu. Kita sudah masuk minggu ke-4 dalam semester ini. Bermulanya bulan Oktober, bermulalah juga kesibukan Sekretariat Pencegahan Rasuah UMS dalam mengendalikan beberapa lagi program yang akan dijalankan dalam bulan ini, bulan November serta Disember.

Mari kita urai sedikit mengenai program yang bakal dilakukan hujung minggu ini. Alhamdulillah setelah ditemuduga, dinilai dan diuji, beberapa pelajar yang terpilih telah Berjaya menjadi Rakan Sekretariat SPRUMS. Tahniah diucapkan kepada Rakan-rakan Sekretariat yang baru dilantik.

Untuk rakan2 sekretariat yang baru dilantik, program khas akan dilaksanakan untuk mereka iaitu Bengkel Jom Kenali SPRUMS yang akan berlangsung pada 5 & 6 Oktober ini. Bengkel ini bukan hanya melibatkan kampus induk, tetapi juga melibatkan SPRUMS dari Kampus Sandakan dan Kampus Labuan. Di sini, cara-cara mengendalikan program, berurusan bersama pihak atasan, cara menulis surat, cara meminta sumbangan dan penaja, dan bermacam-macam lagi akan dikongsi kepada mereka. Selain itu, dapatlah juga kita memupuk nilai-nilai murni seperti menjalinkan ukhwah sesama kita, mencungkil bakat-bakat kepimpinan yang sebelum ini tidak ditonjolkan serta bermacam lagi yang pasti dapat dipelajari dari bengkel ini. Harapan itulah yang kita mahu.



Selain itu, slot-slot ceramah bersama SPRM turut diadakan. Dengan itu, sedikit sebanyak, Rakan Sekretariat dapat mengenali dengan mendalam apa itu rasuah, jenis-jenis kesalahan rasuah, cara-cara melapor rasuah dan pelbagai lagi pengetahuan yang bakal dikongsikan nanti oleh pegawai-pegawai SPRM Negeri Sabah.





Antara barisan-barisan Rakan Sekretariat yang telah melepasi sesi temuduga dan secara rasminya menjadi Rakan Sekretariat SPRUMS mengikut sektor.
 


Semoga program yang bakal dijalankan ini berjalan lancar. Bersama kita membanteras rasuah. Anda boleh melakukan perubahan.

P/S: "UKHWAH DIJALIN, SEMANGAT DIPIMPIN, RASUAH JANGAN DIBIKIN"

Friday, September 27, 2013

Program Jom Kenali SPRUMS

Assalammualaikum. Salam Sejahtera. Salam 1 Malaysia. Salam Anti Rasuah dan Salam Eco-Campus.


Seperti biasa, bermulanya semester baru, pelajar akan bersilih ganti memasuki ke alam universiti serta ada juga yang telah menghabiskan pengajian. Begitu juga dengan pelajar-pelajar di Universiti Malaysia Sabah. Disebabkan itu, kami, Sekretariat Pencegahan Rasuah UMS telah membuka pengambilan baru Rakan Sekretariat di bawah Program Jom Kenali SPRUMS pada 17-19 September yang lepas. Program ini adalah bagi pelajar-pelajar yang ingin mengaktifkan diri, mengasah kemahiran insaniah dan menimba banyak pengalaman di kampus ini.

Feedback yang kami terima dari pelajar-pelajar agak memberangsangkan terutamanya dari pelajar tahun pertama dan kedua.

Suasana sekitar booth kami yang telah dibuka di luar Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah.


  

 Selepas Program Jom Kenali SPRUMS berakhir, sesi temuduga telah dibuka pada minggu berikutnya untuk mereka yang telah mengisi borang sebagai Rakan Sekretariat. Sesi temuduga dijalankan selama seminggu di Pejabat SPRUMS sendiri.

 

Diharapkan semoga semua yang terpilih menjadi Rakan Sekretariat SPRUMS dapat memberikan komitmen kerja yang mantap dan dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan :) Sebagai pelajar IPT, haruslah kita pandai membahagi masa. Belajar dan aktiviti-aktiviti lain perlu berjalan seiring.

P/S: Segala apa yang kita lakukan, bermula dari diri kita sendiri. Jika kita fikir kita dapat melakukan, tiada apa yang dapat melumpuhkan pemikiran kita itu :)

Wednesday, September 25, 2013

Info ringkas tentang SPR IPT dan SPRUMS

Assalammualaikum, salam sejahtera, salam integriti dan anti rasuah.

Objektif SPR IPT:

1. Menerapkan nilai anti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di kalangan pelajar IPT.
2. Mendedahkan pelajar-pelajar IPT kepada program-program pencegahan rasuah.
3. Menjadikan pelajar-pelajar IPT sebagai penyampai mesej anti rasuah kepada masyarakat kampus dan luar kampus.
4. Meningkatkan kesedaran dan penghayatan terhadapa nilai-nilai integriti semasa menjalankan tugas.
5. Mendidik dan mendedahkan pelajar-pelajar IPT kepada pelaksanaan program-program kemasyarakatan yang menekankan kepada penghayatan nilai-nilai murni.
6. Mewujudkan pusat rujukan ilmiah mengenai kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan serta peranan SPRM dalam menangani jenayah ini.
7. Meningkatkan kerjasama dua hala antara SPRM dan IPT.

Peranan SPR IPT:

1. Menyelaraskan urusan yang berkaitan dengan pelaksanaan program pencegahan rasuah sama ada yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau badan-badan pertubuhan pelajar. Ini termasuk penyelarasan bagi mendapatkan penyertaan masyarakat kampus atau hebahan makluman program.

2. Memberi panduan dan informasi mengenai cara-cara pengendalian program-program pencegahan rasuah dan menyampaikan maklumat-maklumat aktiviti yang dianjurkan.

3. Menjadikan organisasi perantara di antara Bahagian Hal Ehwal Pelajar, IPT, SPRM dan pelajar di dalam pelaksanaan program-program pencegahan rasuah.

4. Mewujudkan suasana ceria SPR dengan kelengkapan peralatan publisiti seperti banting, logo, pelekat, risalah dan lain-lain bahan penerbitan.

5. Menjadikan pejabat Urusetia SPR sebagai pusat aktiviti masa lapang pelajar-pelajar peringkat kampus.


Visi SPRUMS:

Menjadi peneraju utama untuk mencapai kesedaran terhadap anti-rasuah dan nilai integriti dalam pembangunan mahasiswa dan masyarakat penyayang sebagai asas pembentukan sebuah negara maju yang terbilang.

Misi SPRUMS:

Mengintegrasikan perspektif mahasiswa dan masyarakat ke dalam arus perdana pembangunan negara ke arah peningkatan kesedaran terhadap rasuah dan nilai integriti.

Moto SPRUMS:

"Profesionalisme, Kredibiliti dan Bekerja Berpasukan Adalah Budaya Kerja Kita".

 
Barisan Sekretariat Pencegahan Rasuah Universiti Malaysia Sabah

Tuesday, April 2, 2013

Konvensyen SPR IPT kali Ke 3 -Hari Kedua-


Assalammualaikum. Alhamdulillah selesai sudah hari pertama Konvensyen SPR IPT kali Ke 3 pada 31 Mac 2013 yang lepas. Pada hari kedua Konvensyen berlangsung iaitu pada 1 April 2013, Majlis Perasmian Konvensyen SPR IPT Kali Ketiga telah dilancarkan dan dirasmikan oleh YBhg. Dato' Sri Haji Abu Kassim bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM diiringi oleh Prof. Datuk Dr. Mohd Harun bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah.

Ucapan alu-aluan oleh Prof. Datuk Dr. Mohd Harun bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah.

 Ucapan perasmian oleh YBhg. Dato' Sri Haji Abu Kassim bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM.



 Ucapan Perasmian oleh YBhg. Dato' Sri Haji Abu Kassim bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM.

 YBhg. Dato' Sri Haji Abu Kassim bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM membuat lawatan ke tapak pameran diiringi oleh Prof. Datuk Dr. Mohd Harun bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah.

  
Sesi Bergambar bersama YBhg. Dato' Sri Haji Abu Kassim bin Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM diiringi oleh Dato Hjh Sutinah bt. Sutan, Timb. Ket Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Mohd Harun bin Abdullah serta barisan mahasiswa/mahasiswi IPTA.

Lagi Gambar; KLIK SINI.

Program diteruskan dengan pembentangan Kertas Kerja 1 oleh En. Mohd Izwan bin Shahril, Alumni SPR IPT dengan membentang tentang Halatuju Alumni SPR IPT. Pembentangan beliau memfokuskan tentang hala tuju Alumni SPR IPT berdasarkan akronim A.S.P.E.R.A yang membawa maksud;

A - ASPIRASI Alumni untuk bersama-sama SPRM dalam usaha menerapkan nilai anti rasuah, penyalahgunaan nilai anti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan masyarakat berkaitan gejala rasuah di Malaysia.

S - SENTIASA BERSEDIA dalam melaksanakan program yang dirancang sama ada dari pihak SPRM, ASpeRa dan SPR IPT.

P - PERANAN Alumni sebagai 'key-communicator' kepada masyarakat dalam menyebarkan maklumat berkaitan gejala rasuah.

E - EMPATI terhadap tugas SPRM sekaligus bersama-sama dalam mencegah gejala rasuah demi kesejahteraan negara.

R - RESPONSIF terhadap isu semasa dan sentiasa memberikan kerjasama dalam membantu menyebarkan maklumat berkaitan rasuah.

A - Mempunyai nilai AKAUNTABILITI dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang dan peraturan.


Pembentangan oleh En. Mohd Izwan bin Shahril.

 
 Penyampaian cenderahati kepada En. Mohd Izwan bin Shahril, Pembentang Kertas Kerja 1.
Pensyarah Fakulti Sains Sukan & Kejurulatihan, Universti Pendidikan Sultan Idris 
merangkap Presiden Alumni SPR-IPT.

Kertas Kerja 2 dibentangkan oleh Encik Mohd Ayub Yakub dari Institut Latihan Sektor Awam Negeri Sabah. Topik yang dibincangkan ialah Pemantapan Integriti Sebagai Jatidiri Mahasiswa Menghadapi Era Baru.

Pembentangan oleh Encik Mohd Ayub Yakub.

Penyampaian cenderahati kepada Encik Mohd Ayub Yakub, Pembentang Kertas Kerja 2.

Seterusnya, selesai sahaja Pembentangan Kertas Kerja 1 dan Kertas Kerja 2, peserta-peserta berkumpulan membuat persiapan untuk Pertandingan Kreatif Anti-Rasuah pada malam harinya.

Peserta-peserta berbincang di dalam kumpulan untuk Pertandingan Kreatif Anti Rasuah.

 Masing-masing sibuk berlatih untuk kelancaran persembahan masing-masing untuk Pertandingan Kreatif Anti Rasuah.

Aktiviti pada 1 April 2013 sesi petang berakhir pada jam 4.30 p.m. sebelum peserta-peserta diminta bergerak ke Hotel Grand Borneo pada malamnya untuk Majlis Makan Malam dan Pertandingan Kreatif Anti Rasuah.