Tuesday, February 28, 2017



Jangan kamu khianati amanah rakyat. jangan hanya mahu didendang dan dijualang di persada takhta, sedang pertimbangan dan kepentingan rakyat dibiar alpa.


segala janji yang dtaburkan, harus dijelmakan menjadi lebih dari sekadar harapan. 


hentikan membuai para marhaen dengan ciptaan dan dongengan yang mengaburi kebenaran, sedang jari jeramimu terus rakus meragut habuan.


laksanakanlah amanah yang dituntut dan perjuangkanlah nasib rakyat yang dahagakan pembelaan dan perjuanganmu.
yakinkanlah kami dengan menentang kebejatan rasuah dan salah guna kuasa.


agar lenyap dan hilang di dunia, segala racun yang menjadi pemusnah merobek nilai-nilai bangsa.

Monday, February 27, 2017

ARTIKLE BAHANA RASUAH MENJADI BUDAYA




Oleh
Dato’ Ahmad Khusairi Haji Yahaya
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.


Di negara ini, rata-rata masyarakat telah mengetahui bahawa rasuah merupakan suatu perbuatan jenayah dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda 5 kali nilai ganda suapan atau kedua-duanya sekali. Di samping tindakan punitif tegas yang dikenakan kepada pesalah rasuah, pelbagai dasar, peraturan dan program-program berbentuk pencegahan serta pendidikan masyarakat dilaksanakan bagi membendung gejala ini.


Rasuah ibarat barah yang secara perlahan menyelinap ke seluruh setiap inci anggota tubuh manusia badan dan akhirnya memusnahkan keseluruhan sistem yang ada. Natijah keburukan jenayah rasuah bilamana ianya mula diserap menjadi budaya dalam sesebuah organisasi amatlah digeruni. Jenayah rasuah sekiranya berleluasa dan menjadi budaya sesebuah organisasi akan memberi kesan serta menjejaskan keseluruhan entiti dalam sistem sosial organisasi berkenaan. Ini termasuklah kesan terhadap pekerja, pelanggan, interaksi sosial, perkhidmatan yang ditawarkan, sistem dan prosedur dan sebagainya.


Dalam konteks jenayah rasuah, golongan pekerja dalam sesebuah organisasi dapat dikategorikan kepada tiga kumpulan iaitu koruptor, oportunis dan berintegriti


Koruptor merupakan golongan yang bijak mengambil kesempatan atas kelemahan pemimpin, undang-undang dan peraturan, sistem dan prosedur bagi memenuhi kepentingan peribadi termasuk mengaut keuntungan bersifat kedudukan, kewangan dan harta benda. Golongan ini merupakan golongan minoriti tetapi amat berpengaruh dalam sistem sosial sesebuah organisasi. Berani meminta dan memujuk rayu suapan rasuah dan menggunakan unsur-unsur ugutan serta penindasan jika terdesak.


Oportunis merupakan kumpulan pekerja yang bersifat tunggu dan lihat. Tidak berani untuk membuat keputusan dan sentiasa berhati-hati dalam tindakan. Tidak meminta atau memujuk rayu tetapi menerima jika ditawarkan Golongan oportunis merupakan kumpulan majoriti dalam organisasi dan biasanya terdiri dalam kategori pertengahan dan bawahan. Mudah terpengaruh dengankemewahan yang ditonjolkan oleh golongan koruptor dan dalam masa yang sama takut tertangkap.


Golongan berintegriti merupakan kumpulan yang mempunyai prinsip hidup yang utuh dan sentiasa berpegang kepada undang-undang dan peraturan dalam setiap tindakan. Akibatnya, golongan ini sentiasa diketepikan dan diasingkan dalam sebarang proses membuat keputusan oleh pihak atasan yang korup. Ada juga di sesetengah organisasi, golongan ini digunakan sebagai boneka untuk menutup segala kelemahan dan keburukan yang berlaku dalam organisasi tersebut. Sebagai contoh, dilantik memegang jawatan berkaitan pelaksanaan aktiviti integriti, pencegahan rasuah dan sebagainya yang mana program-program ini hanya untuk golongan-golongan pekerja tertentu dan tidak pernah dihadiri oleh pegawai atasan.


Apakah petanda yang menunjukkan jenayah rasuah telah menjadi budaya dalam sesebuah organisasi? Rasuah Menjadi Budaya bila mana: 
  • Tohmahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan semakin banyak ke atas organisasi; 
  • Pemusatan kuasa hanya kepada seorang individu sahaja; 
  • Kuasa budi bicara melebihi peraturan dan prosedur; 
  • Semakin ramai orang tengah berurusan di kaunter; 
  • Broker projek, orang tengah, pembekal bebas keluar masuk pejabat; 
  • Keistimewaan diberikan kepada sesebuah syarikat atau individu; 
  • Wujud amalan cronyism dan favoritism dalam semua keputusan; 
  • Tiada dasar putaran kerja, pegawai berkhidmat di sesuatu tempat dalam tempoh yang lama; 
  • Pegawai enggan bertukar walaupun dinaikkan pangkat; 
  • Kehidupan pegawai dan staf amat mewah; 
  • Produktiviti dan prestasi organisasi turun naik, ada proses kerja yang cepat tapi ada yang sengaja dilewat-lewatkan; 
  • Birokrasi bertambah meruncing; 
  • Pelanggan dikenakan bayaran tambahan yang tidak sepatutnya; 
  • Pegawai meminta upah secara terang-terangan bagi mempercepatkan proses; 
  • Pembekal terpaksa membayar komisen dalam setiap pembekalan kepada pegawai; 
  • Rasuah berleluasa di setiap peringkat kakitangan bermula dari pengawal keselamatan hinggalah ke ketua jabatan; 


Bagaimana jenayah rasuah dapat memberi kesan dalam konteks pekerja? Kita biasa mendengar rungutan dan rasa tidak puas hati golongan pekerja yang ditindas termasuk dari segi tidak diberikan peluang untuk kenaikan pangkat malahan ditukarkan ke kawasan pendalaman hanya semata-mata enggan memenuhi arahan si ketua yang mahu meluluskan sesuatu permohonan kepada kroninya tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan. Akan tetapi bagi golongan oportunis undang-undang dan peraturan diketepikan semata-mata untuk memenuhi arahan ketua jabatan. Ada saja jalan pintas yang boleh dicipta menerusi peraturan yang lemah untuk memenuhi hajat si ketua. Undang-undang dan peraturan yang lapuk dimanipulasikan bagi mengukuhkan asas tindakan. Undang-undang dan peraturan diinterpretasikan mengikut kepentingan dan kehendak tertentu. Inilah kreativiti yang berjaya dipupuk oleh organisasi yang mengamalkan budaya rasuah.


Sebagai balasan kepada si oportunis, pelbagai bentuk keistimewaan diberikan oleh si ketua termasuk yang biasa kita dengar seperti cepat naik pangkat, bebas keluar masuk pejabat, tidak perlu buat kerja, hidup mewah, kekal selama-lamanya di tempat yang sama dan berkuasa penuh sehingga tidak boleh ditegur oleh sesiapa pun.


Kesannya perpecahan akan berlaku dalam sesebuah organisasi yang akhirnya mewujudkan perasaan berpuak-puak antara golongan pekerja, menimbulkan rasa tidak puas hati, melemahkan semangat kerja, mengabaikan peraturan serta prosedur dan yang paling membimbangkan bila mana orang luar yang tiada kena mengena dengan jabatan pun bebas keluar masuk ke pejabat ketua jabatan dan boleh pula memberikan arahan kepada pegawai dan staf untuk membuat itu dan ini.


Bagi golongan pekerja yang lemah psikologinya, akan mudah terjerumus dalam kancah jenayah rasuah. Rasa tidak puas hati dilepaskan dengan turut sama meminta wang rasuah bagi melaksanakan tugas masing-masing. “Apa yang nak dihairankan, bos pun sama, kalau kita tak ambil orang lain akan ambil juga” merupakan antara kata-kata yang sering diungkapkan bagi memujuk hati dan perasaan untuk menghalalkan perbuatan yang haram.


Bila rasuah menjadi budaya dalam organisasi, kedudukan di bahagian-bahagian strategik seperti perolehan, pelesenan, penguatkuasaan, pembangunan, teknikal dan sebagainya yang boleh dianggap sebagai lubuk emas akan diletakkan pegawai-pegawai yang sehaluan demi melicinkan “urusan” peribadi. Tidak hairanlah, kebelakangan ini muncul kes-kes di dada-dada akhbar yang berkaitan tangkapan BPR terhadap ketua jabatan hingga ke pembantu am pejabat, penguat kuasa lapor kegiatan rasuah penguat kuasa lain hanya kerana pembahagian wang rasuah dibuat secara tidak adil dan bermacam-macam kes panas yang membimbangkan.


Salah satu lagi entiti penting yang terjejas bila rasuah menjadi budaya organisasi adalah golongan pelanggan. Pelanggan terpaksa membayar lebih dari apa yang sepatutnya dibayar disebabkan “caj-caj” tertentu yang dikenakan oleh pegawai mahupun orang tengah (perantara). Pemohon yang benar-benar layak akan diketepikan disebabkan jenayah rasuah dan kronisme. Proses pembayaran bil yang sepatutnya diproses dalam tempoh 14 hari mengambil masa berbulan-bulan lamanya sehingga menjejaskan pembekal untuk membuat modal pusingan. Pelanggan terpaksa datang awal untuk merebut nombor giliran dan beratur panjang sedangkan kenalan dan kroni-kroni di biar masuk ikut pintu belakang.


Pelbagai bentuk masalah dan tekanan seperti karenah birokrasi, kelewatan proses, borang permohonan hilang, dokumen tak lengkap, pemeriksaan mengejut, saman dan kompaun atas kesalahan yang sengaja diada-adakan, operasi bagi mengganggu perniagaan dan berbagai-bagai cara dibuat bagi memaksa pelanggan membayar wang rasuah. Yang anehnya, bila duit kopi diselitkan pada borang permohonan, pegawai dibawa berhibur di pusat-pusat karaoke, hadiah-hadiah berharga disedekahkan dan perjanjian komisen ditetapkan kesemua proses berjalan dengan lancar, cepat, cekap dan efisien.


Kesan yang paling mengaibkan bila rasuah menjadi budaya adalah terhadap golongan pelanggan yang kurang berkemampuan, masyarakat luar bandar, kurang berpendidikan yang cuba mendapatkan perkhidmatan dan pembelaan daripada organisasi terbabit. Kes-kes yang melibatkan pegawai-pegawai yang sepatutnya mengagihkan bantuan kebajikan kepada orang kurang upaya dan warga emas telah menyelewengkan peruntukan terbabit untuk kepentingan diri masih berlaku. Orang kurang upaya dan warga emas yang bergantung pada bantuan kewangan ini ditipu dengan cap jari dan tandatangan diambil sebagai pengesahan palsu bahawa mereka telah menerima bantuan tersebut. Walhal bantuan kewangan tersebut di seleweng untuk kemewahan individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini.


Melihat kepada kesan jenayah rasuah bila ia menjadi budaya organisasi amatlah menggerunkan. Jenayah rasuah harus diperangi kerana ia mengakibatkan kerosakan yang berpanjangan khususnya terhadap imej dan kepercayaan masyarakat terhadap organisasi. Adalah mudah untuk kita mencapai kecemerlangan, tetapi sukar untuk kita mengekalkan kecemerlangan tersebut ditambah pula apabila imej organisasi tercalar disebabkan jenayah rasuah.


Bersama Kita Lakukan Perubahan Perangi Rasuah.

Sunday, February 26, 2017

ARTIKLE: KESEDARAN RASUAH RENDAH


SEJAK pelancarannya pada 26 April 2010 sehinggalah rencana ini ditulis seramai 144 orang telah ditangkap diseluruh negara atas kesalahan menyogok pegawai awam. Tempoh dua bulan ini memperlihatkan purata tangkapan ke atas pemberi rasuah dianggarkan duaorang setiap hari.
Statistik ini menunjukkan bahawa masyarakat masih lagi belum sedar bahawa perbuatan memberi atau menawarkan suapan rasuah merupakan satu perbuatan Jenayah yang serius. Sekiranya didapati bersalah hukuman berat termasuk penjarase hingga 20 tahun dan denda RM10000 atau lima kali ganda nilai suapan menanti pelakunya.
Media massa banyak membantu menyebarluaskan maklumat atau mesej berhubung Kempen Perangi Pemberi Rasuah ini Masyarakat didedahkan mengenai kesan buruk yang bakal dihadapi sekiranya terjebak dengan perlakuan ini. Berita-berita berhubung tangkapan pendakwaan dan hukuman yang dijatuhkan keatas pemberi rasuah hampir setiap hari dipaparkan dikaca televisyen mahupun didada akhbar-akhbar utama.
Namun pertambahan jumlah perangkaan yang semakin bertambah ini memperlihatkan isu berkaitan kesalahan memberi rasuah ini masih dianggap remeh oleh segolongan besar masyarakat.
Berdasarkan jumlah tangkapan keseluruhannya iaitu sebanyak 144 kes hampir 40 peratus atau 57 tangkapan melibatkan individu yang melakukan kesalahan jalanraya. Kenapa harus kita memperjudikan nasib dengan memberi sogokan rasuah atas kesalahan yang boleh dikompaun. Akibatnya bagi mengelakkan saman trafik yang bernilai RM300 kita terpaksa berhadapan pula dengan suatu kesalahan yang lebih serius iaitu berhadapan hukuman penjara dan denda yang lebih tinggi. Masyarakat harus mengubah persepsi negatif mereka terhadap penjawat awam khususnya anggota penguatkuasa. Zaman telah berubah begitu juga semangat dan iltizam penjawat awam. Maruah perkhidmatan awam bukan untuk digadai atau dijual. Wang ringgit bukan galang gantinya. Kewujudan anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi bertujuan memelihara keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalanraya keseluruhannya.
Segelintir masyarakat yang hanya mementingkan diri dengan melanggar peraturan yang ditetapkan wajar dihukum sebagai tanda pengajaran untuk menjadi lebih disiplin. Sikap cuai gopoh memandu secara melulu dan tidak sabar membuatkan individu menjadi pembunuh di atas jalanraya.
Atas sebab-sebab inilah maka kemalangan maut sering berlaku sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain yang tidak berdosa. Sesal dahulu berpendapatan sesal kemudian tiada gunanya. Kajian yang dijalankan oleh pihak berwajib menunjukkan kemalangan yang berlaku hampir 75 peratus disebabkan faktor kecuaian manusia.
Selain kesalahan jalanraya satu lagi kesalahan yang menjadi punca kepada perlakuan rasuah ialah kesalahan yang melibatkan pendatang tanpa izin. Penjawat awam sekali lagi cuba disogok untuk melindungi pendatang tanpa izin yang bukan sahaja memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah malahan terbabit dengan lain-lain kegiatan jenayah termasuk merompak, melacur, menyamun, dadah dan sebagainya.
Seramai 38 orang pendatang tanpa izin yang ditangkap kerana menyogok anggota penguatkuasa. Sudahlah memasuki negara ini tanpa sah cuba pula membeli penguatkuasa bagi menutup kesalahan mereka. Jangan sesekali samakan anggota penguatkuasa kita seperti di negara mereka.
Sekali lagi masyarakat harus sedar kesan dan akibat sekiranya PATI dibiarkan berleluasa menjalankan kegiatan mereka di negara ini. Kita bukan tidak biasa mendengar tumpasnya kegiatan samun pembunuhan, penculikan, rompakan, pengedarandadah, kegiatan samseng dan pelacuran yang melibatkan warganegara asing.
Hampir setiap hari dilaporkan dalam akhbar-akhbar berhubung jenayah berat yang dilakukan warga asing di negara tercinta ini. Adakah kita sebagai warganegara Malaysia mahukan kedamaian dan kesejahteraan yang kita nikmati ini diragut begitu sahaja dek kegiatan jenayah warga asing.
Sungguh memalukan jika diteliti dari segi jumlah wang rasuah yang cuba disogok kepada penjawat awam. Dari nilai RM3 hinggalah puluhan ribu ditawarkan untuk melindungi kegiatan mereka. Apakah nilai maruah dan harga diri seorang anggota keselamatan sekadar RM3sahaja.
Terdapat juga kata-kata nakal dikalangan kita yang mengatakan RM3 tangkap kalau RM30000 lepas. sebenarnya telahb anyak berubah baik dari segi sikap, nilai integriti mahupun budaya kerjanya.
Buktinya seramai 10 orang anggota penguatkuasa yang ditawarkan rasuah bernilai melebihi RM1000000 menolak sogokan tersebut dan menangkap si pemberi rasuah. Secara keseluruhannya jumlah suapan yang terlibat sepanjang dua bulan ini melibatkan sebanyak hampir RM350000.
Wang ringgit bukan lagi menjadi keutamaan yang dikejar. Sebaliknya amanah dan perjuangan menegakkan undang-undang menjadi perjuangan. Jenayah dan permasalahan sosial yang berlaku di sekeliling membuatkan penjawat awam semakin muak dengan ragam dan tingkah laku penjenayah yang semakin tidak menghormati kedaulatan undang-undang negara ini.
Kesannya rakyat yang tidak berdosa jadi mangsa. Keharmonian dan kesejahteraan hidup yang dikecapi semakin digugat. Ia bukanlah kata-kata retorik sebaliknya suatu kenyataan atau realiti yang harus diterima oleh segenap lapisan masyarakat.
Kempen Perangi Pemberi Rasuah ini akan diteruskan sehinggalah keseluruhan masyarakat sedar bahawa perbuatan memberi dan menawarkan suapan rasuah adalah kesalahan yang serius.
Berdasarkan kepada Statistik tangkapan ke atas pemberi rasuah Polis Diraja Malaysia harus diberikan pujian kerana telah berjaya menangkap lebih dari 50 orang pemberi rasuah diikuti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM menerusi operasi-operasi khasnya sebanyak 10 tangkapan RELA, 9 tangkapan JPJ, 8 tangkapan Imigresen, 5 tangkapan Perhutanan, 2 tangkapan Tenaga Nasional, 1 tangkapan dan PTG 1 tangkapan.
Tumpuan difasa kedua adalah serbuan mengejut secara bersepadu pelbagai agensi penguatkuasa di seluruh negara ke atas sarang-sarang pelacuran, pengedaran dadah, pusat-pusat hiburan, rumah-rumah urut, kilang-kilang haram, pembalakan haram, kecurian pasir dan premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan jenayah.
Strategi pendekatan serampang duamata ini sekiranya dijalankan secara telus bukan sahaja akan memberi pengajaran ke atas pelaku-pelaku rasuah malahan turut menghapuskan pelbagai kegiatan jenayah lain.

Saturday, February 25, 2017

ARTIKLE: WANG POLITIK VS. POLITIK WANG

  
    Secara amnya, sebuah parti politik memerlukan wang sebagai pendanaan untuk tujuan pilihan raya termasuk aktiviti-aktiviti parti politik yang lain seperti pendidikan, analisis polisi, latihan dan lain-lain. Semasa pilihan raya parti politik memerlukan jumlah dana yang banyak untuk menbiayai kempen pilihanraya, seperti perbelanjaan calon, pusat operasi kempen, poster dan media massa dan elektonik. Kebiasaanya kesemua kos-kos tersebut dibiayai dengan yuran keahlian, derma politik, makan malam untuk mendapatkan dana, penjualan buku dan juga dana daripada calon pilihan raya sendiri. Seiring dengan kenaikan kos sara hidup yang lain, kos untuk parti politik juga bertambah dan untuk menjalankan kempen pilihan raya memerlukan dana yang lebih daripada biasa. Persaingan untuk mendapatkan jawatan dan memenangi pilihan raya menjadikan kosnya melambung tinggi. Dalam proses ini, wujudnya politik wang.

Menurut Teh (2002) beliau merujuk politik wang sebagai wang haram yang diterima oleh parti politik. Di dalam konteks Malaysia, beliau merujuk politik wang sebagai menggunakan wang, hadiah, barangan berharga, kontrak untuk membeli undi dan sokongan dan kebiasaanya berlaku semasa kempen pilihan raya. Politik wang dirujuk sebagai rasuah politik apabila ahli politik menerima wang haram daripada individu, ahli perniagaan, atau golongan kaya yang meminta sesuatu sebangai timbal balik. Kebiasannya mereka meminta kontrak bisnes kerajaan dan juga kontrak bisnes usahasama sebagai balasan. Menurut TI-Malaysia, penggunaan wang di dalam politik tidak dipantau oleh intitusi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ianya juga tidak dipantau dengan ketat oleh parti-parti politik. Sebagai kesannya, ia akan menyebabkan pemilihan pemimpin yang bakal memimpin parti dan negara akan terjejas. Sebagai contoh, pemimpin yang berkaliber tetapi tidak mempunyai dana politik yang banyak akan tewas kepada pemimpin yang kurang ciri-ciri kepimpinan tetapi mempunyai pendanaan yang banyak. Akibatnya negara akan ditadbir oleh pemimpin yang tidak kompeten dan bakal menjerumuskan negara kepada keadaan tidak menentu.

Selain daripada itu, politik wang juga dirujuk kepada amalan membeli undi semasa kempen pilihan raya. Di Malaysia fenomena ini dilihat telah lama bertapak di dalam sistem politik negara dan ia melibatkan parti politik utama di negara ini iaitu UMNO. Ianya bermula pada tahun 1981 apabila Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) telah dilantik sebagai presiden UMNO. Beliau kemudiannya mengumumkan tidak akan menamakan timbalannya dan menyerahkannya kepada delegasi untuk memilih di dalam pemilihan agung UMNO. Dua tokoh dilihat layak untuk jawatan tersebut iaitu Tengku Razaliegh Hamzah dan Musa Hitam. Pertandingan tersebut memihak kepada Musa Hitam (kini Tun) pada tahun 1984. Merujuk kepada Milner R.S (1986:1371):

“…at the 1984 UMNO elections, the total money spent on votes was allegedly well in excess of $20 million…”.

Politik wang dalam UMNO kemudian berterusan sehingga pada 1995, dilaporkan bahawa seorang calon telah membelanjakan sehingga RM 6 juta untuk memenagi jawatan ketua bahagian UMNO Pasir Salak, Perak. Kemudian melihatkan politik wang menjadi-jadi di dalam UMNO dan tidak dapat dikawal Datuk Seri Dr. Mahathir telah mengharamkan waktu berkempen semasa pemilihan UMNO tahun 1996. Pada tahun 2001, di dalam usaha untuk mengurangkan amalan politik wang, UMNO telah mewujudkan lembaga disiplin UMNO yang bertanggungjawab untuk menguatkuasakan tatakelakuan semasa pemilihan agung parti. Jika ada laporan mengenai pelanggaran tatakelakuan tersebut, maka lembaga tersebut akan menjatuhkan hukuman mengikut perlembagaan parti. Hasil usaha ini boleh dilihat apabila Tan Sri Isa Samad dan Dato’ Seri Mohamad Ali Rustam, di dapati bersalah akibat politik wang dan mereka dikenakan tindakan tatatertib peringkat parti. Mereka telah dikenakan pergantungan daripada jawatan dan keahlian di dalam UMNO dan dilarang daripada bertanding. (Utusan Malaysia, 24 Jun 2009).

Lantaran itu, untuk kita membezakan diantara wang politik dan politik wang adalah amat penting kerana wang dalam politik amat siknifikan untuk survival parti politik tersebut. Wang politik dirujuk sebagai wang yang diterima dengan jalan sah seperti yuran keahlian, derma politik yang tidak meminta balasan, sumbangan daripada orang perseorangan untuk parti, dan dana yang diperolehi daripada majlis-majlis makan malam untuk tujuan pendanaan. Wang politik sangat penting untuk ahli politik bagi memastikan penyokong-penyokongnya dapat digerakkan semasa kempen pilihanraya. Jika hanya menggunakan wang persendirian dan sumbangan daripada parti, ianya tidak mencukupi. Kerana sebagai ahli politik kehidupan seharian mereka adalah dikelilingi oleh ahli parti dan penyokong-penyokong. Oleh itu, penggunaan wang amat penting untuk diberikan kepada penyokong seperti di kenduri-kendara, melawat orang sakit, program kemasyarakatan dan sebagainya. Sebagai contoh, sebagai seorang ADUN di sesebuah kawasan akan diberikan peruntukan ADUN untuk diberikan kepada masyarakat di kawasannya dengan cara menganjurkan program kemasyarakatan. Oleh kerana permintaan yang tinggi berbanding wang yang diberikan, maka ahli politik akan memiilih untuk mendapatkan wang haram. Di Malaysia, tidak seperti di kebanyakan negara lain, parti politik dibenarkan untuk terlibat di dalam perniagaan. Syarikat yang berkaitan dengan parti politik seperti Multi Purpose Holding Berhad dan The Star Publication oleh MCA, Maika Holding oleh MIC dan beberapa syarikat yang berkaitan dengan UMNO seperti Renong, Utusan Melayu, dan The New Straits Times Press. (Fernandez, et.al :2010). Oleh yang demikian, bagaimana untuk memastikan wang politik dan politik wang tidak bertindan antara satu sama lain? Di dalam perkara ini, TI-Malaysia telah mengusulkan supaya kerajaan Malaysia supaya mengharamkan pembiayaan rahsia yang tidak diumumkan di dalam akaun parti politik. Ini kerana pembiayaan rahsia selalunya tidak transparen dan menimbulkan pelbagai spekulasi seperti rasuah, pembiayaan asing, dan penggubahan wanng haram. TI-M juga mengusulkan supaya kerajaan menyediakaan pembiayaan untuk parti politik untuk menjamin pertandingan yang adil dan membendung masalah rasuah di dalam proses pendanaan parti politik. (Fernandez, et.al:2010). Sebagai rumsannya boleh dikatakan bahawa wang politik adalah sesuatu yang dibolehkan kerana kepentingannya untuk menyuburkan demokrasi di dalam parti politik dan negara. Tetapi politik wang yang digunakan untuk membeli undi dan sokongaan di dalam sesuatu pilihan raya adalah merujuk kepada rasuah politik kerana ianya mempunyai balasan dan upah sebagai timbal balik iaitu untuk kekal berkuasa dan memenangi sesuatu jawatan. (Mohamad Agus:2005).