Saturday, February 25, 2017

ARTIKLE: WANG POLITIK VS. POLITIK WANG

  
    Secara amnya, sebuah parti politik memerlukan wang sebagai pendanaan untuk tujuan pilihan raya termasuk aktiviti-aktiviti parti politik yang lain seperti pendidikan, analisis polisi, latihan dan lain-lain. Semasa pilihan raya parti politik memerlukan jumlah dana yang banyak untuk menbiayai kempen pilihanraya, seperti perbelanjaan calon, pusat operasi kempen, poster dan media massa dan elektonik. Kebiasaanya kesemua kos-kos tersebut dibiayai dengan yuran keahlian, derma politik, makan malam untuk mendapatkan dana, penjualan buku dan juga dana daripada calon pilihan raya sendiri. Seiring dengan kenaikan kos sara hidup yang lain, kos untuk parti politik juga bertambah dan untuk menjalankan kempen pilihan raya memerlukan dana yang lebih daripada biasa. Persaingan untuk mendapatkan jawatan dan memenangi pilihan raya menjadikan kosnya melambung tinggi. Dalam proses ini, wujudnya politik wang.

Menurut Teh (2002) beliau merujuk politik wang sebagai wang haram yang diterima oleh parti politik. Di dalam konteks Malaysia, beliau merujuk politik wang sebagai menggunakan wang, hadiah, barangan berharga, kontrak untuk membeli undi dan sokongan dan kebiasaanya berlaku semasa kempen pilihan raya. Politik wang dirujuk sebagai rasuah politik apabila ahli politik menerima wang haram daripada individu, ahli perniagaan, atau golongan kaya yang meminta sesuatu sebangai timbal balik. Kebiasannya mereka meminta kontrak bisnes kerajaan dan juga kontrak bisnes usahasama sebagai balasan. Menurut TI-Malaysia, penggunaan wang di dalam politik tidak dipantau oleh intitusi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ianya juga tidak dipantau dengan ketat oleh parti-parti politik. Sebagai kesannya, ia akan menyebabkan pemilihan pemimpin yang bakal memimpin parti dan negara akan terjejas. Sebagai contoh, pemimpin yang berkaliber tetapi tidak mempunyai dana politik yang banyak akan tewas kepada pemimpin yang kurang ciri-ciri kepimpinan tetapi mempunyai pendanaan yang banyak. Akibatnya negara akan ditadbir oleh pemimpin yang tidak kompeten dan bakal menjerumuskan negara kepada keadaan tidak menentu.

Selain daripada itu, politik wang juga dirujuk kepada amalan membeli undi semasa kempen pilihan raya. Di Malaysia fenomena ini dilihat telah lama bertapak di dalam sistem politik negara dan ia melibatkan parti politik utama di negara ini iaitu UMNO. Ianya bermula pada tahun 1981 apabila Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) telah dilantik sebagai presiden UMNO. Beliau kemudiannya mengumumkan tidak akan menamakan timbalannya dan menyerahkannya kepada delegasi untuk memilih di dalam pemilihan agung UMNO. Dua tokoh dilihat layak untuk jawatan tersebut iaitu Tengku Razaliegh Hamzah dan Musa Hitam. Pertandingan tersebut memihak kepada Musa Hitam (kini Tun) pada tahun 1984. Merujuk kepada Milner R.S (1986:1371):

“…at the 1984 UMNO elections, the total money spent on votes was allegedly well in excess of $20 million…”.

Politik wang dalam UMNO kemudian berterusan sehingga pada 1995, dilaporkan bahawa seorang calon telah membelanjakan sehingga RM 6 juta untuk memenagi jawatan ketua bahagian UMNO Pasir Salak, Perak. Kemudian melihatkan politik wang menjadi-jadi di dalam UMNO dan tidak dapat dikawal Datuk Seri Dr. Mahathir telah mengharamkan waktu berkempen semasa pemilihan UMNO tahun 1996. Pada tahun 2001, di dalam usaha untuk mengurangkan amalan politik wang, UMNO telah mewujudkan lembaga disiplin UMNO yang bertanggungjawab untuk menguatkuasakan tatakelakuan semasa pemilihan agung parti. Jika ada laporan mengenai pelanggaran tatakelakuan tersebut, maka lembaga tersebut akan menjatuhkan hukuman mengikut perlembagaan parti. Hasil usaha ini boleh dilihat apabila Tan Sri Isa Samad dan Dato’ Seri Mohamad Ali Rustam, di dapati bersalah akibat politik wang dan mereka dikenakan tindakan tatatertib peringkat parti. Mereka telah dikenakan pergantungan daripada jawatan dan keahlian di dalam UMNO dan dilarang daripada bertanding. (Utusan Malaysia, 24 Jun 2009).

Lantaran itu, untuk kita membezakan diantara wang politik dan politik wang adalah amat penting kerana wang dalam politik amat siknifikan untuk survival parti politik tersebut. Wang politik dirujuk sebagai wang yang diterima dengan jalan sah seperti yuran keahlian, derma politik yang tidak meminta balasan, sumbangan daripada orang perseorangan untuk parti, dan dana yang diperolehi daripada majlis-majlis makan malam untuk tujuan pendanaan. Wang politik sangat penting untuk ahli politik bagi memastikan penyokong-penyokongnya dapat digerakkan semasa kempen pilihanraya. Jika hanya menggunakan wang persendirian dan sumbangan daripada parti, ianya tidak mencukupi. Kerana sebagai ahli politik kehidupan seharian mereka adalah dikelilingi oleh ahli parti dan penyokong-penyokong. Oleh itu, penggunaan wang amat penting untuk diberikan kepada penyokong seperti di kenduri-kendara, melawat orang sakit, program kemasyarakatan dan sebagainya. Sebagai contoh, sebagai seorang ADUN di sesebuah kawasan akan diberikan peruntukan ADUN untuk diberikan kepada masyarakat di kawasannya dengan cara menganjurkan program kemasyarakatan. Oleh kerana permintaan yang tinggi berbanding wang yang diberikan, maka ahli politik akan memiilih untuk mendapatkan wang haram. Di Malaysia, tidak seperti di kebanyakan negara lain, parti politik dibenarkan untuk terlibat di dalam perniagaan. Syarikat yang berkaitan dengan parti politik seperti Multi Purpose Holding Berhad dan The Star Publication oleh MCA, Maika Holding oleh MIC dan beberapa syarikat yang berkaitan dengan UMNO seperti Renong, Utusan Melayu, dan The New Straits Times Press. (Fernandez, et.al :2010). Oleh yang demikian, bagaimana untuk memastikan wang politik dan politik wang tidak bertindan antara satu sama lain? Di dalam perkara ini, TI-Malaysia telah mengusulkan supaya kerajaan Malaysia supaya mengharamkan pembiayaan rahsia yang tidak diumumkan di dalam akaun parti politik. Ini kerana pembiayaan rahsia selalunya tidak transparen dan menimbulkan pelbagai spekulasi seperti rasuah, pembiayaan asing, dan penggubahan wanng haram. TI-M juga mengusulkan supaya kerajaan menyediakaan pembiayaan untuk parti politik untuk menjamin pertandingan yang adil dan membendung masalah rasuah di dalam proses pendanaan parti politik. (Fernandez, et.al:2010). Sebagai rumsannya boleh dikatakan bahawa wang politik adalah sesuatu yang dibolehkan kerana kepentingannya untuk menyuburkan demokrasi di dalam parti politik dan negara. Tetapi politik wang yang digunakan untuk membeli undi dan sokongaan di dalam sesuatu pilihan raya adalah merujuk kepada rasuah politik kerana ianya mempunyai balasan dan upah sebagai timbal balik iaitu untuk kekal berkuasa dan memenangi sesuatu jawatan. (Mohamad Agus:2005).

No comments: