Thursday, May 17, 2012

Bekas Penyelia Dihukum Penjara, Denda Kerana RASUAH



2012/05/16

JOHOR BAHRU: Seorang bekas penyelia hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menerima rasuah daripada seorang pemilik nurseri, tahun lalu. 

Hakim Mohd Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah kes tertuduh, Fadzly Ahmad, 33.
Fadzly, bekas pekerja Ranhill Water Services Sdn Bhd Cawangan Kluang, dituduh menerima RM2,000 daripada pemilik nurseri Simple Farm Sdn Bhd, Tam Chee Ming.
Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kepada pihak Syarikat Air Johor kerana nurseri yang diurus oleh Simple Farm Sdn Bhd terbabit dikatakan melakukan kesalahan dengan menggunakan sistem paip air yang disambung dari bangunan persendirian. 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di nombor 11, tingkat 1, Jalan Intan 7/1, Taman Intan, Kluang, kira-kira jam 5.40 petang, 2 April 2011. 

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, yang boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda suapan mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

Fadzly boleh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan hari ini kerana mahkamah hanya membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya selepas peguam Ramesh Vasan dan Abraham Mathew yang mewakilinya memohon penangguhan pelaksanaan hukuman terbabit. 
Mohd Nasir memerintahkan rayuan pelaksanaan penangguhan hukuman penjara itu difailkan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh seminggu dan menetapkan wang jaminan RM5,000 sementara menunggu keputusan rayuan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ridzuan Abd Malik memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh memandangkan kesnya membabitkan kepentingan awam selain mencemarkan nama syarikat. - BERNAMA 




-----------------------------------------------------------------------------------


Orang kata, kita kena jujur dalam pekerjaan. Bukan saja pekerjaan tetapi dalam setiap tindakan yang kita lakukan. Biar ada berkat lagi halal. Tak gitu?? Macam kisah dalam akhbar ni. Kerana duit semua orang jadi kabur. Kerana takut dan ingin kejar keuntungan, semua jadi kabur. Akhirnya, diri sendiri yang parah dan merana. 
Jadi, renung-renungkan.....fikir dulu sebelum buat....

Wednesday, May 9, 2012

Apa aktiviti SPRUMS bulan ni?

Bulan ini aktiviti SPRUMS sangat padat. Boleh dikatakan setiap minggu ada program yang dijalankan. Baru-baru ini SPRUMS telah melancarkan PROGRAM SEKOLAH ANGKAT di SMKA Kota Kinabalu, Sabah. Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang tempoh program ini berlansung. Program ini berlansung selama sebulan. Antaranya adalah PERTANDINGAN BUKU SKRAP dan PROGRAM MENATAP DAN MENDENGAR. 

Itu untuk Program Sekolah Angkat. Hujung minggu ini pulak, SPRUMS akan mengadakan program santai dan riadah (akhirnya dapat juga kami semua rehat dan bersuka-ria...hehe). PROGRAM FAMILY DAY SPRUMS akan diadakan di ODEC, UMS pada hari sabtu ini. Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi menjayakan program ini. Yang penting aktiviti wajib iaitu mandi pantai mesti ada. Hehehe...nak buat macam mana. Sabah ni kan pulau, so banyak aktiviti dilakukan ditepi pantai.

Lepas habis aktiviti santai, anggota dan RS SPRUMS akan sambung berprogram lagi. SPRUMS akan adakan MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM SEKOLAH ANGKAT pada 24hb Mei 2012. Walaupun majlis penutupan program ini diadakan tetapi hubungan antara pihak sekolah dan SPRUMS tidak terputus begitu sahaja. Terdapat beberapa program lagi yang dirancang dengan kerjasama sekolah angkat. Memandangkan semester ini adalah semester pendek. Jadi program-program tersebut akan diadakan pada semester depan. Program apa ek?? Tunggu...

Selepas selesai Majlis Penutupan Sekolah Angkat, 25hb Mei 2012 akan diadakan MALAM PENGHARGAAN DAN MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN kepada anggota SPRUMS yang baru dilantik. terdapat 24 orang anggota SPRUMS yang dilantik. Tema pada malam tersebut adalah Grammy Night. Tema warna adalah gold. Memang kelasss dan glamor la anggota SPRUMS dan rakan sekretariat pada malam tu. Mungkin juga tetamu-tetamu jemputan tidak mahu terlepas peluang berposing di atas red carpet. Hehehe.

Pada keesokan harinya, 26hb Mei 2012 akan diadakan PROGRAM CERAMAH INTEGRITI DAN ANTI-RASUAH (CITRA). Program ini akan disertai oleh 7 institutsi pengajian tinggi iaitu Institut Perguruan Kampus Kenth, Tuaran, Institut Perguruan Kampus Gaya, Institut Perguruan Kampus Keningau, Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Politeknik Kota Kinabalu, UiTM Kampus Kota Kinabalu dan UMS. Selain aktiviti ceramah, pengisian dalam program ini juga adalah Round Table Discussion (RTD). Hasil resolusi akan diberikan kepada Pengarah dan Naib Canselor Institusi  masing-masing.

Diharap 7 program SPRUMS yang dirancang akan berjalan dengan lancar dan jayanya. Selesai program semua anggota SPRUMS dan juga rakan sekretariat akan berjuang menghadapi final exam pada semester ini. Good Luck semua!!!


Jom Saya Belanja!!!

Lama juga admin tak update blog SPRUMS ni. Hari ni admin nak cerita tentang satu perkara yang admin dengar disuatu tempat yang perlu dirahsiakan. Situasi di pejabat dan kedai makan. Abu adalah seorang kontraktor binaan. Rosnah pula adalah seorang kerani kewangan disalah sebuah syarikat. 

Abu       : Jom makan. Lapar la. Buat kerja banyak-banyak 
               pun tak ada rehat...susah juga. Jom kita makan sama-sama
Rosnah  : Ye la. Jom. Saya pun lapar juga ni. Kita makan kat gerai bawah 
               office saja la k. Sedap juga gerai kat bawah tu.
Abu       : Ok je. Mana-mana pun boleh. Janji dapat ngappp....hehehe.
Rosnah  : Heehehe.

Selepas makan, mereka ke kaunter bayaran.

Rosnah  : Kak, berape ye? Em. Tadi saya makan nasi putih, sup tulang 
               dan air jus tembikai.
Abu       : Eh. Tak ape-ape. Biar saya yang bayar. Biar saya belanja awak 
               hari ni, ok?
Rosnah  : Eh. Tak ape la. Biar saya yang bayar harga makanan saya. 
               Susah-susahkan awak saja. 
Abu       : Tak ape. Sekali-sekala saja. Bukannya selalu. Lagipun dapat 
               rezeki lebih. Apa salahnya kita kongsi dengan kawan-kawan
               ...kan?
Rosnah  : Yeke. Tak ape la kalau macam tu. Terima kasih ye. 
               (Dalam hati : Kalau tahu dia nak  belanja aku makan. Aku 
               ambik lauk banyak sikit tadi. Dah alang-alang..kan..hehehe)
Abu      : Hahaha..sama-sama. Em, kak. Berapa ye semua??
Tauke Kedai : Baiknya awak. Em. semua sekali RM30.00 saja. 

Abu seringkali belanja Rosnah makan setiap kali Abu datang ke pejabat Rosnah. Rosnah pula seperti sudah biasa dengan situasi tersebut. Pada suatu hari....

Abu       : Em..Rosnah. Payment saya tu macam mana ar? Dapat ke?
Rosnah  : Ow. Dapat cuma lambat sikit la sebab kita kena ikut prosedur. 
               Kena tunggu sebulan juga la untuk keluar payment. Lagipun 
               pegawai yang beri kelulusan tak ada. Dia pergi kursus. Minggu 
               depan baru ada.
Abu      : Yeke. Lambat juga tu. Kalau tak tunggu pegawai tu tak boleh 
              ke? Lagipun pegawai tu cerewet la. Dah banyak kali payment 
              saya tak lepas. Katanya maklumat yang saya beri tak lengkap. 
              Lagipun dia tak berapa suka saya. Selalu tuduh saya tak ikut 
              prosedur untuk dapatkan tender. Tak suka la dia tu. Rumit 
              sangat. Rosnah..tolong la saya. Cepatkan payment tu. Nanti 
              saya belanja awak makan, ok? Saya bawa awak makan kat 
              restoran di hotel sana tu, Ok?
Rosnah : Pegawai tu memang macam tu. Cerewet sikit. Tak apa la.
              Disebabkan awak selalu belanja saya makan. Saya tolong 
              cepatkan payment awak, ok. Saya akan pastikan dua tiga 
              hari lagi payment awak tu keluar. Jangan risau, ok? Saya
              boleh uruskan. 
Abu      : Tapi pegawai yang beri kelulusan tu tak ada kan? Macam mana?
Rosnah : Tak apa. Jangan risau. Saya boleh uruskan. Pandai-pandailah 
              saya uruskan nanti. Janji awak belanja saya makan. Hehe.
Abu      : Boleh..boleh..boleh. Jangan risau. Saya belanja awak 
              makan punya la. Cakap je kat mana. 
Rosnah : Hahaha....ok.

.
.
.
.
.

Oppssssssssss....ini dah jadi rasuah ni. Walaupun Abu hanya belanja Rosnah makan tetapi ia tetap dikategorikan memberi dan menerima rasuah. Rasuah tu kan dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. 

.
.

Jadi kepada kakitangan kerajaan mahupun swasta, jangan la menerima rasuah atau sesuatu untuk kepentingan diri sendiri. Tak kira baik mana pun orang itu tetapi kalau hampir memusnahkan kerjaya anda, lebih baik jauhkan.

Jadi KATAKAN TIDAK PADA RASUAH!!!