Friday, October 11, 2013

Hari Pertama Bengkel Jom Kenali SPRUMS

Assalammualaikum. Salam Sejahtera. Salam 1 Malaysia. Salam Eco Campus. Salam Integriti dan Anti Rasuah.

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnianya, dapat kami, Sekretariat Pencegahan Rasuah UMS melaksanakan Program Kedua kami iaitu Bengkel Jom Kenali SPRUMS pada 5 & 6 Oktober yang lepas. Bengkel ini melibatkan semua anggota dan rakan sekretariat dari Kampus Induk, Kampus Sandakan serta Kampus Labuan.

Antara objektif bengkel ini ialah:

1. Memperkenalkan SPRUMS kepada semua mahasiswa dan mahasiswi serta warga Universiti Malaysia Sabah.

2. Menarik minat dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi serta warga UMS untuk menyertai dan menganggotai ahli SPRUMS.

3. Memberi nilai faedah kepada golongan belia warga dan mahasiswa/i UMS tentang peranan mahasiswa/i sebagai pendukung wawasan dan pemimpin negara pada masa hadapan.

4. Meningkatkan kesedaran para mahasiswa dan mahasiswi serta warga UMS terhadap isu rasuah terutamanya dalam organisasi.


Antara pengisian sepanjang bengkel ini, mahasiswa dan mahasiswi didedahkan tentang apa itu rasuah, jenis-jenis kesalahan, serta tindakan yang perlu diambil jika terdapat pesalah rasuah di sekeliling mereka. Di sini, mahasiswa/i dapat menyuarakan persoalan yang selama ini mungkin tidak terjawab disebabkan tidak semua kita sedar kemungkinan apa yang kita lakukan tergolong dalam kesalahan rasuah. Slot ini telah dikendalikan oleh Penyelaras dari SPRM, Y. Brs. Penolong Penguasa Janet @ Tay Ling Ling binti Mait, Pegawai Unit Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Sabah.

Slot 1 bersama Pn. Janet.

Seterusnya, peserta-peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dalam sesi Ice-Breaking. Daripada sesi ini, peserta-peserta dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih jauh lagi. Sesi ini sedikit sebanyak merapatkan ukhwah selaras dengan objektif yang ingin dicapai.

Sesi mengenali antara satu sama lain.

Slot 3 telah diisi dengan Slot tentang Etika Protokol, Urusetia, Jemputan, Usahasama, Pengangkutan, Logistik dan Teknikal bersama En. Mohammad Norazmi bin Haris daripada Bahagian Perhubungan Korporat, Universiti Malaysia Sabah. Melalui slot ini, para peserta lebih ditekankan kepada protokol disebabkan protokol adalah yang paling dititikberatkan dalam apa-apa majlis sama ada formal atau tidak formal.

Sesi bersama En. Mohammad Norazmi dalam menyusun kedudukan dif-dif kehormat di dalam Majlis Konvokesyen.

Slot seterusnya ialah mengenai Pengurusan Kewangan, Makanan, Cenderahati dan Pameran yang telah dikendalikan oleh Miss Laura Jeffred, Penolong Akauntan, Jabatan Bendahari, Universiti Malaysia Sabah. Melalui slot ini, mahasiswa/i dapat belajar tentang cara-cara untuk membuat permohonan kewangan dari Jabatan Bendahari UMS. Proses-proses serta apa yang diperlukan dalam permohonan itu turut ditunjuk ajar.


Slot terakhir yang telah dikendalikan menyentuh tentang pengurusan surat-menyurat, laporan dan minit mesyuarat. Dalam slot ini lebih ditekankan tentang bagaimana format surat yang tepat yang boleh digunakan dalam mengendalikan, memohon sumbangan dan sebagainya dalam pelbagai program. Melalui slot ini, sedikit sebanyak mahasiswa/i sedar akan pentingnya format dalam menulis surat kerana perkara ini yang dilihat terlebih dahulu sebelum gerak kerja dapat dipantau.

***
Pada waktu malam pula, aktiviti santai melibatkan semua peserta telah dikendalikan. Para peserta dibahagi mengikut Sektor masing-masing; Sektor Ceramah, Sektor Pameran, Sektor Seminar, Bengkel & Forum, Sektor Perundingan & Komuniti, Sektor Media & Data serta Sektor Aktiviti Keagamaan. Pihak pengurusan juga dikhaskan dalam kumpulan yang lain. Pihak pengurusan ini terdiri daripada Majlis Tertinggi SPRUMS. Setiap sektor diminta melakukan persembahan sempena Malam Kebudayaan.

 Kumpulan Pengurusan dan Sektor Perundingan dan Komuniti

 Kumpulan Sektor Media & Data

 Kumpulan Sektor Aktiviti Keagamaan dan Sektor Seminar, Bengkel dan Forum


Selesai Malam Kebudayaan, para peserta dijamu selera. Dengan itu, berakhirlah hari pertama Bengkel Jom Kenali SPRUMS yang telah dikendalikan sepenuhnya di Anjung Siswa, Universiti Malaysia Sabah. Terima kasih kepada semua yang terlibat. "UKHWAH DIJALIN, SEMANGAT DIPIMPIN, RASUAH JANGAN DIBIKIN"

No comments: