Tuesday, February 21, 2012

Pelan Integriti Nasional


Menyedari tentang pentingnya integriti di kalangan masyarakat, Kerajaan telah menyediakan dan melaksanakan Pelan Integriti Nasional (PIN). Pelan ini dibangunkan dengan fokus utamanya untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysia. Pelan seumpama ini membolehkan Kerajaan merancang pelbagai program secara teratur dalam usaha membudayakan etika dan integriti masyarakat. Sebelum ini telah terdapat pelbagai usaha yang dilakukan, tetapi  didapati usaha usaha ini tidak konsisten dan tidak menyeluruh dan hasilnya sebilangan besar usaha-usaha  ini menemui kegagalan terutamanya dalam usaha mewujudkan sinergi semua sektor. 

Skop dan konsep yang dibawa oleh PIN kelihatannya lebih menyeluruh dan holistik dalam memberi panduan kepada setiap komponen masyarakat untuk membudayakan integriti. PIN yang dilancarkan pada 23 April 2004,  oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, adalah selaras dengan  cabaran ke empat Wawasan  2020 iaitu untuk “Membentuk  sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan  ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur”.

Objektif Pelan Integriti Nasional adalah seperti berikut :-

1. Memberikan halatuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakt yang bersatu padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika.

2. Meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam usaha peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya  masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang.

3. Menggalakan semangat bertanggungjawab dikalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat Sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cerdas menegakkan integriti.

4. Menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat, negara dan peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat.

5. Meningkatkan daya saing  dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran abad ke-21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.

No comments: