Saturday, February 11, 2012

BERSAMA KITA HAPUSKAN RASUAH


Oleh :
AHMAD SHAHRUL NIZAM BIN A’ZIM
Sek. Men. Keb. Chepir, Sik Kedah

Pascakemerdekaan Negara menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang begitu rancak. Namun, dalam usaha menuju era modenisasi, negara kita pula terpaksa berhadapan dengan suatu penyakit sosial yang sungguh berbahaya sehingga boleh meranapkan peradaban bangsa kita, yakni gejala rasuah. Saban hari, kemelut rasuah seringkali kita lihat di kaca televisyen dan juga di dada akhbar. Kemelut rasuah ini sebenarnya boleh menghancurkan kestabilan  politik dan menjejaskan ekonomi sesebuah negara. 

    Walaupun isu ini hangat diperkatakan, pernahkah terlintas dalam benak anda apakah maksud ”rasuah”? Sesungguhnya, ”rasuah” boleh diertikan sebagai amalan tumbuk rusuk atau makan suap dan kegiatan memberikan atau menerima sogokan kebendaan, sama ada dalam bentuk wang ataupun hadiah untuk mencapai matlamat tertentu serta juga membawa maksud yang negatif kepada imej sesebuah masyarakat 
dan negara. Pada umumnya, amalan rasuah ini merupakan suatu perbuatan jahil, jahat yang menyalahi undang-undang dan hukum-hukum Islam. 

    Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah rasuah ini? Sudah pasti tindakan awal ialah setiap individu dalam masyarakat perlu memantapkan keimanan dan mengukuhkan jati  diri seseorang agar mereka tidak terjebak dengan rasuah yang semakin runcing di negara kita  sekarang ini. Selain itu, guru juga perlu memainkan peranan penting dalam membanteras gejala kolar putih ini dengan menerapkan dan mendedahkan betapa bahayanya rasuah dalam sistem pendidikan. Hal ini membolehkan masyarakat benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi. Peribahasa ”melentur buluh biarlah daripada rebungnya” amat sesuai kerana anak-anak perlulah didedahkan dengan bahaya jenayah ini agar mereka membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah dan ikhlas. Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah atau dikenali sebagai kolar putih. 

   Seterusnya, penerapan konsep keagamaan dan moral hendaklah dilakukan terutamanya di sektor pendidikan negara  seperti dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti. Usaha menerapkan konsep murni sebegini perlu dilakukan pada peringkat awal kehidupan seseorang itu supaya mudah untuk mengawalnya. Semua konsep yang baik dijelaskan kepada pelajar supaya mereka memahami keperluan untuk membebaskan diri dan negara daripada ancaman rasuah ini. Ringkasnya, pendidikan kepada golongan muda berupaya menyekat penularan wabak sosial yang begitu memalukan ini dengan begitu mudah dan berkesan. Sebelum itu, di dalam riwayat Nabi Muhammad SAW bersabda : ” Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah) maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)” (Riwayat Abu Daud, ayat 2943, Albani : Hadith Sohih;Ma’lim As-Sunan, Al-Khatabbi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah).  

    Di samping itu, tindakan awal untuk menghapuskan rasuah yang semakin menular ini ialah kerajaan membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut ini dengan menahan, mendakwa dan menghukum pesalah-pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan mereka. Rakyat masih beranggapan bahawa masih ada pihak-pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi mereka tidak dibawa ke muka pengadilan yang menimbulkan rasa tidak kepercayaan rakyat akan keikhlasan kerajaan untuk menangani isu ini. Kesungguhan kerajaan mendakwa dan mengheret mereka ini ke mahkamah akan memberi satu peringatan agar mereka tidak mengambil rasuah pada peringkat awalnya. Sesungguhnya tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa memilih bulu akan memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang setimpal dan menakutkan mereka daripada melakukan jenayah ini.  

   Selain itu, kesejahteraan dan keharmonian  negara juga akan terjamin jika kita bersama-sama menghapuskan masalah rasuah yang semakin membimbangkan ini. Antara langkah-langkahnya ialah Timbalan Perdana Menteri mengarahkan Ketua Setiausaha Negara supaya merangka satu petanda aras rasuah bertujuan untuk menunjukkan sikap serius mereka terhadap rasuah kepada negara. Di samping itu,  Badan Pencegahan Rasuah (BPR) perlu meningkatkan usaha untuk menyelesaikan segala kes  rasuah yang diadukan. Kakitangan sektor awam haruslah juga menanam sikap berwaspada untuk mengelakkan daripada sebarang perbuatan dan gejala yang melibatkan rasuah di negara ini berlaku.  

      Usaha kerajaan untuk menakutkan pesalah rasuah dan masyarakat boleh dicapai menerusi satu kempen iklan yang efektif. Kempen yang dilancarkan itu mestilah menggunakan media massa secara holistik iaitu daripada akhbar hinggalah ke internet untuk memastikan semua khalayak masyarakat menerima kempen tersebut. Semua imej atau aksi yang dipaparkan melalui iklan itu mestilah berupaya meninggalkan kesan atau menjadikan masyarakat berfikir dua kali sebelum mereka menerima rasuah. Jadi, kempen yang begitu mudah tetapi berkesan menjadi satu wahana yang baik dalam peperangan memerangi amalan rasuah ini. Contohnya, kempen atau iklan yang menyoalkan hukuman-hukuman dan bahananya jikalau menerima rasuah.  

    Seterusnya, siasatan hukuman dan penguatkuasaan undang-undang yang utuh dan ketat perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan seriusnya masalah rasuah jika tidak dibanteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Mereka yang mengamal amalan rasuah akan dikenakan denda hukuman berat. Sebagai contoh, denda minimum RM 300,000.00 serta penjara tidak kurang daripada dua tahun. Di samping itu, kajian yang dilakukan oleh Transperancy International Malaysia yang menyatakan bahawa golongan yang berpendapatan tinggi di Malaysia lebih cenderung memberi rasuah kepada pihak berkuasa. Menurut kajian, golongan berpendapatan bulanan RM 5000 ke atas didapati paling ramai memberi rasuah iaitu 52%, diikuti  kumpulan berpendapatan bulanan RM 3001 hingga RM 5000 (40%), RM 1501-RM 3000 (31%) dan kurang RM 1500 (18%), (Berita Harian 6 Mac 2007).  Tiga perempat (3/4) dari negara-negara yang mempunyai indeks kurang daripada lima adalah terdiri dari negara-negara miskin di mana rakyatnya berpendapatan kurang dari 1USD sehari (0 adalah paling dicemari oleh rasuah, dan 10 adalah paling bersih dari rasuah). Laporan rasuah oleh Transperancy International pada 2005 melaporkan bahawa Malaysia telah jatuh 16 tangga dalam tempoh 10 tahun ini dari tempat ke-23 pada tahun 1995 ke tempat 39 pada tahun 2004. Kajian pada tahun 2006 pula telah mencatatkan Malaysia dengan indeks CPI 5.0, jatuh ke tangga 44, dari sejumlah 163 buah negara pada tahun 2007, Malaysia hanya mampu memperbaiki sedikit kedudukannya kepada 43 dari ranking terbawah iaitu 180, berkongsi kedudukan dengan Korea Selatan dan Afrika Selatan. Indeks CPI Malaysia bagi tahun 2007 adalah 5.1 dengan tahap kebersihan dan keyakinan bebas rasuah pada lingkungan 3.4-6.8 dari 10 tahap terbaik. Yang lebih menyedihkan sekali, negara yang dipimpin oleh orang Islam yang paling bersih dari rasuah adalah Qatar yang berada di tangga 32 sahaja. Sejahat-jahat Yahudi pun, negara mereka berada di tangga 30. Jiran kita, Singapura pula berada di tempat keempat terbaik dunia.  

     Akhirnya, semoga penulisan ini secara tidak langsung memberikan sedikit suntikan baru buat kita untuk mengelak diri dari rasuah dan berusaha membanterasnya. Jika kita lihat dari segi statistik rasuah, jelas menunjukkan bahawa kadar rasuah di negara-negara maju adalah rendah. Kita perlu renung dan berfikir terutamanya dari sudut Islam. Jika ingin menjadi sebuah negara yang maju, rasuah perlu dihapuskan. Ketika Rasullullah SAW ditawarkan dengan pelbagai kesenangan hidup, harta dan takhta oleh Kaum Quraisy dengan menetapkan beberapa syarat iaitu Rasullullah SAW mestilah meninggalkan perjuangan untuk mendaulatkan idealisme Islam, meninggalkan jihad, meninggalkan dakwah dan meninggalkan wawasan baginda untuk membina masyarakat rabbani. Bagaimanapun, baginda tidak tunduk dengan tawaran rasuah itu dan tidak berganjak seinci pun dengan komitmen baginda, meskipun mereka meminta bapa saudara Rasulullah, Abu Talib untuk memujuk namun Rasulullah tetap masih dengan pendiriannya dan bersabda : ”Sekiranya bulan diletakkan di tangan kananku dan matahari di tangan kiriku, nescaya aku tidak akan sesekali meninggalkan tugas menyebarkan Islam ini.  

      Konklusinya, langkah-langkah untuk mengatasi kemelut ini harus diteliti dan dipantau oleh semua pihak dengan berkesan. Perubahan paradigma masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku terlebih dahulu jika masalah ini hendak diatasi ke akar umbinya. Kelewatan untuk mengatasi masalah ini mampu menjadikan negara kita satu negara yang begitu sukar untuk dipercayai dan diuruskan pada masa hadapan. Mungkin konsep mencegah lebih baik daripada mengubati akan berkesan dalam memastikan rasuah terus terkubur dalam tempat yang sepatutnya. Saya merayu kepada seluruh rakyat Malaysia supaya kita bersama-sama menghapuskan amalan rasuah ini agar Wawasan 2020 yang sering dilaung-laungkan akan menjadi kenyataan.



- penulis adalah pemenang tempat pertama pertandingan menulis esei pencegahan rasuah 2009 kategori A.

No comments: