Saturday, February 11, 2012

Bila Hadiah Menjadi Rasuah

Malaysia terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa yang hidup aman damai mengamalkan agama dan adat istiadat bangsa mengikut kepercayaan masing-masing tanpa diganggu gugat. Setiap bangsa bebas menyambut perayaan mengikut agama dan adat. Perayaan sesuatu bangsa diraikan sama oleh bangsa-bangsa lain. 

Biasanya sambutan sesuatu perayaan dimeriahkan dengan ucapan melalui pelbagai kaedah dikalangan kaum keluarga, sahabat handai, kenalan baru dan lama tanpa mengira bangsa atau kaum. Disamping itu tidak ketinggalan setiap perayaan diserikan dengan pemberian hadiah dalam pelbagai bentuk bagi memeriahkan lagi sesuatu perayaan itu. 

Mengikut agama Islam pemberian hadiah atau sedekah oleh mereka yang berada kepada mereka yang kurang berada adalah digalakkan bagi membolehkan semua lapisan masyarakat merasakan kegembiraan di hari perayaan terutamanya dikalangan kaum keluarga dan sahabat handai. Agama dan bangsa lain juga menggalakkan pemberian
hadiah seumpama itu. 

Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa tidak semua hadiah dibenarkan dibawah undangundang dan peraturan kerana ianya boleh menjadi rasuah dalam keadaan-keadaan
tertentu. 

Mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) tafsiran suapan termasuklah hadiah. Suapan ertinya:-

a. wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah,cagaran berharga, harga atau kepentingan mengenai harta, iaitu  
    apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, faedah kewangan, atau apa-apa manfaat seumpama itu 
    yang lain;
b. apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, danapa-apa perjanjian 
    untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan
    atas apa-apa sifat;
c. apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, 
    sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;
d. apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan;
e. apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;
f.  apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, termasuk perlindungan daripada apa-apa penalti atau 
    ketidakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang   
    bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau  
    menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan
g. apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan 
    mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f).

Penerimaan atau pemberian hadiah sebagai suapan bagi maksud di bawah Seksyen 16 dan 17 ASPRM 2009 adalah menjadi kesalahan dibawah akta tersebut. Kesalahan menerima suapan dibawah seksyen 16 ASPRM 2009 dinyatakan seperti berikut: Mana-mana orang yang sendiri atau melalui atau bersama dengan mana-mana orang lain :-

a.  Secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima bagi dirinya atau bagi mana-mana 
     orang lain; atau
b. Secara rasuah memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang sama ada bagi 
    faedah orang itu atau bagi faedah orang lain, apa-apa suapan sebagai dorongan untuk atau upah bagi, atau  
    selainnya oleh sebaba. mana-mana orang melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan 
    dengan apa-apa perkara atau transaksi, sama ada yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang 
    mungkin berlaku; atau
b. mana-mana pegawai sesuatu badan awam melakukan atau tidak melakukan apaapa jua berkenaan 
    dengan apa-apa perkara atau transaksi, sama ada yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang 
    mungkin berlaku, yang dengannya badan awam itu terlibat, melakukan sesuatu kesalahan. 

Manakala kesalahan memberi atau menerima suapan oleh ejen di bawah Seksyen 17 ASPRM 2009 pula dinyatakan seperti berikut:  Seseorang melakukan kesalahan jika –

a.  sebagai seorang ejen, dia secara rasuah menyetuju terima atau memperoleh, atau bersetuju untuk 
     menyetuju terima atau cuba untuk memperoleh, daripada manamana orang, untuk dirinya sendiri atau  
     untuk mana-mana orang lain, apa-apa suapan sebagai suatu dorongan atau upah bagi melakukan atau   
     tidak melakukan, atau kerana telah melakukan atau tidak melakukan, apa-apa perbuatan berhubungan 
     dengan hal ehwal atau perniagaan prinsipalnya, atau kerana memberikan atau tidak memberikan 
     sokongan atau tentangan kepada mana-mana orang berhubungan dengan hal ehwal atau perniagaan 
     prinsipalnya; atau

b. dia memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana 
    ejen sebagai dorongan atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan, atau kerana telah melakukan atau 
    tidak melakukan apa-apa perbuatan berhubungan dengan hal ehwal atau perniagaan prinsipalnya, atau 
    bagi memberikan atau tidak memberikan sokongan atau tentangan kepada mana-mana orang 
    berhubungan dengan hal ehwal atau perniagaan prinsipalnya.

Dalam pada itu ada juga pihak tertentu daripada kalangan pegawai awam yang masih keliru dan kurang faham dengan pemberian dan penerimaan hadiah (suapan) seumpama ini. Mereka beranggapan perlakuan itu adalah satu budaya dan kelaziman dalam tugastugas rasmi mereka, dan tidak menjadi kesalahan dari segi undang-undang. Untuk menjelaskan kekeliruan ini penjawat awam diseru supaya merujuk Seksyen 57 Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dinyatakan saperti berikut :-

"Dalam mana-mana prosiding sivil atau jenayah di bawah Akta ini, keterangan tidak boleh diterima untuk menunjukkan bahawa apa-apa suapan yang tersebut dalam Akta ini adalah satu kelaziman dalam apa-apa profesion, tred, kerjaya atau pekerjaan atau dalam sesuatu upacara sosial.”

Manakala bagi penjawat awam diperuntukkan secara jelas mengikut Seksyen 165 kanun keseksaan bahawa mereka tidak boleh menerima sesuatu benda yang berharga (termasuklah hadiah) dinyatakan seperti berikut:-

“Barang siapa yang menjadi seorang penjawat awam, menerima atau mendapat, atau bersetuju menerima atau cuba mendapat, untuk dirinya atau untuk seseorang lain sesuatubenda yang berharga, dengan tiada balasan atau dengan suatu balasan yang ia ketahui tidak mencukupi, daripada seseorang yang ia ketahui telah, atau sedang, atau mungkin ada kena mengena dalam apa-apa perbicaraan atau urusan yang telah dijalankan, atau yang akan dijalankan, oleh penjawat awam itu, atau yang ada apa-apa perhubungan dengan kerja-kerja rasminya sendiri atau dengan kerja-kerja rasmi seseorang penjawat awam yang dibawahnya ia bekerja, atau daripada seseorang yang ia ketahui sebagai ada kepentingan atau bersangkutan dengan orang yang ada kena mengena dekimian itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau
denda atau dengan kedua-duanya” 

Pada tahun 2008, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menangkap empat (4) dan mendakwa enam (6) orang pegawai kerajaan dari kumpulan pengurusan tertinggi dan sokongan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memujuk rayu dan menerima barangan berharga seperti kereta mewah dan tiket penerbangan untuk melancung yang ada kaitan dengan tugas rasmi mereka.

Pegawai badan awam diingatkan supaya tidak menerima sebarang hadiah atau apaapa pemberian daripada mana-mana pihak jika ia membabitkan tugas rasmi atau ada kaitan dengan bidang kuasa mereka. Sehubungan dengan itu, pegawai badan awam dan anggota perkhidmatan badan awam digesa supaya memberi peringatan dan arahan kepada suami atau isteri masing-masing supaya jangan menerima sebarang hadiah atau apa-apa pemberian daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali atau diketahui mempunyai
urusan dengan tugas rasmi suami atau isteri mereka. 

Selain dari melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan pegawai badan awam hendaklah mematuhi Peraturan 8(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, mengenai menerima dan memberi hadiah. Peraturan 8 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dinyatakan seperti berikut:- 

8 (1) Tertakluk kepada peruntukan peraturan ini, seseorang pegawai tidak boleh menerima atau memberi, atau tidak boleh membenarkan isteri atau suaminya atau manamana orang lain menerima atau memberi bagi pihaknya, secara langsung atau tak langsung, apa-apa hadiah (sama ada dalam bentuk zahir atau selainnya) daripada atau kepada mana-mana persatuan, badan, orang atau kumpulan orang jika- 

   (a) penerimaan atau pemberian hadiah itu mempunyai kaitan dengan apa-apa cara, dengan perlaksanaan 
        tugas awam pegawai itu; dan 
   (b) bentuk, amaun atau nilai hadiah itu tidak sepadan dengan maksud hadiah itu diberikan. 

(2) Ketua Jabatan boleh membenarkan seseorang pegawai menerima surat pujian daripada mana-mana persatuan, badan, orang atau kumpulan orang sempena persaraan atau pertukarannya dengan syarat bahawa suatu pujian itu tidak terkandung dalam bekas yang bernilai. 

(3) Ketua Jabatan boleh membenarkan pungutan sumbangan secara spontan oleh pegawai-pegawai di bawahnya bagi maksud membuat sesuatu penyampaian kepada seseorang pegawai dalam jabatannya sempena persaraan, pertukaran atau perkahwinan pegawai tersebut atau perkahwinan anak pegawai tersebut atau sempena apa-apa upacara lain yang sesuai.

(4) Jika-
  
   (a) seseorang pegawai berasa ragu-ragu tentang sama ada bentuk, amaun atau nilai hadiah yang diterima 
        olehnya adalah sepadan dengan maksud hadiah itu diberikan; atau 
   (b) hal keadaan menyebabkan sukar bagi seseorang pegawai untuk menolak sesuatu hadiah atau 
        cenderamata yang bernilai, yang penerimaannya dilarang oleh peraturan ini, maka hadiah itu boleh 
        diterima secara rasmi tetapi pegawai itu hendaklah, dengan seberapa segera yang pratik, 
        mengemukakan suatu laporan bertulis kepada Ketua Jabatan yang mengandungi perihalan lengkap dan 
        anggaran nilai hadiah dan dalam hal keadaan yang hadiah itu diterima. 

(5) Apabila diterima laporan yang dibuat di bawah subperaturan (4), Ketua Jabatan hendaklah memutuskan sama ada-
  
   (a) untuk membenarkan pegawai itu menyimpan hadiah itu; atau 
   (b) untuk mengarahkan supaya hadiah itu dikembalikan kepada pemberinya melalui Ketua Jabatan. 

(6) Bagi maksud peraturan ini, Ketua Jabatan ertinya Ketua Setiausaha sesuatu Kementerian atau ketua jabatan di peringkat ibu pejabat, mengikut mana-mana yang berkenaan. 

Disamping undang-undang dan peraturan diatas, bagi penjawat awam dinyatakan dengan jelas bagaimana untuk berurusan dengan pemberian dan penerimaan hadiah seperti yang terdapat dalam Pekeliling Perkhidmatan bilangan 3 tahun 1998 dan Surat Pekeliling Perkhidmatan bilangan 5 tahun 2008. Pekeliling ini boleh dicapai melalui laman web JPA http://www.jpa.gov.my/ . Manakala Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 menjelaskan secara khusus mengenai keraian dinyatakan seperti berikut:-

Seseorang pegawai boleh memberi atau menerima apa-apa jenis keraian kepada atau daripada mana-mana orang jika- 

(a) keraian itu tidak dengan apa-apa cara mempengaruhi perlaksanaan tugas rasminya sebagai seorang 
     pegawai awam bagi kepentingan orang itu; dan 
(b) pemberian atau penerimaan keraian itu tidak dalam apa-apa cara tak konsisten dengan tatakelakuan 
     yang ditetapkan di bawah peraturan 4. 

Di ingatkan juga supaya, syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan rasmi dengan mana-mana jabatan kerajaan jangan sekali-kali memberi hadiah atau apa-apa pemberian kepada mana-mana pegawai awam yang mana tugas rasminya terlibat dalam urusan yang berkaitan dengan syarikat-syarikat itu. Pemberian seumpama itu akan menimbulkan rasa serba salah dan dilema kepada pegawai awam dan akhirnya akan membawa mereka terjerumus kepada rasuah. 

Bagi penjawat awam, mereka perlu ambil ingatan bahawa sebarang pemberian yang mengharapkan balasan atau pujuk rayu untuk mendapatkan hadiah adalah merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 16 atau 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Mereka yang diberi, dijanjikan, atau ditawarkan apa-apa suapan hendaklah melaporkan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau
pegawai polis yang paling hampir dengan kadar segera dan jika gagal berbuat demikian menjadi kesalahan dibawah seksyen 25(2) ASPRM 2009. 

Bagi orang awam pula, sekiranya mereka dipujuk rayu oleh mana-mana penjawat awam untuk mendapatkan hadiah sewaktu berurusan rasmi dengan penjawat awam, adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab orang awam berkenaaan untuk melaporkan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau pegawai polis yang paling hampir dengan kadar segera. Kegagalan berbuat demikian adalah menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 25(4) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Peruntukan Seksyen 25 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dinyatakan seperti berikut :- 

25 (1) Mana-mana orang yang diberi, dijanjikan, atau ditawarkan, apa-apa suapan dengan melanggar mana-
     mana peruntukan Akta ini hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran itu, berserta dengan 
     nama, jika diketahui, orang yang memberikan, menjanjikan atau menawarkan suapan itu kepadanya 
     kepada pegawai Suruhanjaya atau pegawai polis yang paling hampir. 

(2) Mana-mana orang tidak mematuhi subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan danapabila disabitkan 
     boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 
     sepuluh tahun atau kedua-duanya. 

(3) Mana-mana orang daripadanya suapan telah diterima atau diperolehi, atau suatu percubaan telah dibuat 
     untuk memperoleh suapan itu, dengan melanggar mana-mana peruntukan Akta ini, hendaklah seawal 
     yang mungkin selepas itu melaporkan permintaan atau perolehan, atau percubaan untuk memperoleh, 
     suapan itu berserta dengan perihalan yang lengkap dan benar dan, jika diketahui, nama orang yang 
     meminta, atau memperoleh, atau cuba memperoleh, suapan daripadanya itu kepada pegawai 
     Suruhanjaya atau pegawai polis yang paling hampir. 

(4) Mana-mana orang yang tidak, tanpa alasan yang munasabah, mematuhi subseksyen.

(3) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau 
     dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

Sekiranya timbul sebarang persoalan mengenai hadiah, pertanyaan boleh dibuat melalui Pusat Khidmat Nasihat Pemberian/Penerimaan Hadiah yang dikendalikan oleh SPRM melalui telefon/sms di talian 019-6000103/019-6000104 atau di laman web www.sprm.gov.my 

Disusun oleh. 
Dato Haji Zakaria bin Haji Jaffar 
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) 
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Putrajaya. 
09 Nov. 09

No comments: