Thursday, January 31, 2013

Program Pegawai Integriti Bertauliah - CeIO

SPRM telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memerangi gejala rasuah di Malaysia. Walau bagaimanapun SPRM juga sedar bahawa gejala ini tidak boleh ditangani oleh organisasi ini secara individu, ia perlu penglibatan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara holistik.

Usaha-usaha yang dijalankan oleh SPRM bukan sahaja daripada aspek penguatkuasaan tetapi juga melibatkan aspek pencegahan. Justeru itu pada tahun 2011, SPRM telah berjaya mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Kerajaan (JKKMKPK) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 30 Mac 2010, bagi melaksanakan Program Pegawai Integriti Bertauliah melalui Arahan YAB Perdana Menteri No.1. Tahun 2009, Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia, Siri 1 No.1 Tahun 2011 Pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah. Arahan tersebut menghendaki supaya semua Ketua-ketua Jabatan mewujudkan Pegawai Integriti Bertauliah di jabatan dan agensi masing-masing.

Program Pegawai Integriti Bertauliah ini dirangka untuk melahirkan Pegawai Integriti Bertauliah yang berperanan untuk merancang, melaksana dan memantau keberkesanan program-program integriti di kementerian, jabatan dan agensi masingmasing. Ia juga untuk menggalakkan pihak swasta terlibat sama dalam pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah di organisasi mereka masing-masing. Program ini pada asalnya adalah susulan daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keutuhan Pengurusan (JKP) yang dipengerusikan oleh Tan Sri KSN pada 18 Ogos 2008 yang meminta BPR pada ketika itu untuk menempatkan pegawai kanan sebagai Ketua Pegawai Integriti secara kader di Jabatan atau agensi yang dilihat mempunyai risiko rasuah yang tinggi. Keputusan ini kemudiannya telah dibentangkan JKKMKPK yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 3 November 2008 dan diputuskan supaya BPR memberikan khidmat nasihat kepada jabatan yang ingin mewujudkan Ketua Pegawai Integriti mereka sendiri.

sumber : www.sprm.gov.my

No comments: