Wednesday, March 1, 2017

ARTIKLE: Rasuah : Antara Realiti dan Persepsi

thursday, October 14, 2010

Salam Hijau Aman...
Aku menulis di sini sebagai orang biasa yang hanya berpersepsi, persepsi aku ini adalah melalui pengalaman aku yang dulunya adalah realiti.

Realiti dan persepsi dilihat dua perkara yang berbeza, tidak kira di dalam ruang lingkup apa pun. Namun, kadang-kadang persepsi itulah yang akan menjadi asas terciptanya realiti.
Ibarat Adik Beradik Wright yang mencipta kapal terbang, bagaimana mereka mahukan besi boleh terbang, orang kata mereka gila, namun persepsi orang terhadap idea mereka mencetuskan booster dalam diri Adik Beradik Wright mencipta kapal terbang menjadi realiti.
Dalam ruang lingkup rasuah di negara kita, persepsi orang ramai terhadap rasuah yang berlaku di negara kita begitu buruk, kerja keras SPRM dipandang serong oleh rakyat sekaliannya. Namun ini semua persepsi rakyat yang dilihat akan memburukkan lagi nndeks rasuah di negara kita.

Dalam konteks realiti, SPRM adalah badan yang bertanggungjawab menerangkan kepada rakyat tentang peri buruknya rasuah dalam institusi negara. Tidak dapat tidak SPRM adalah badan yang Bebas, Telus dan Profesional dalam menjalankan tugasnya.

Cuma yang tinggal adalah persepsi rakyat terhadap SPRM untuk percaya atau tidak tentang kebebasan, ketelusan dan tahap profesionalisme pegawai-pegawai SPRM.
Mungkin rakyat ada sebab tersendiri dalam mempercayai persepsi lebih daripada realiti setiap usaha yang dilakukan SPRM dalam membentuk masyarakat yang jijikkan rasuah. Mungkin juga rakyat masih lagi samar tentang usaha yang dilakukan SPRM dalam usaha untuk melahirkan rakyat yang menyedari peri pentingnya memerangi rasuah.

Apa pun persepsi rakyat, ini akan mengundang padah kepada SPRM, persepsi yang memburuk-burukkan SPRM semakin membanjiri di dalam blog-blog, media-media dan di kedai-kedai kopi.

Kemelut SPRM dalam mengajak rakyat untuk bersama-sama memerangi rasuah akan menggapai zaman gelap sekiranya rakyat tidak berganding bahu bersama. Walaupun pelbagai tohmahan persepsi yang menggoncang, namun SPRM tetap utuh bagi menjayakan misi memerangi rasuah.

SPRM hanya mengharapkan kepada rakyat seluruhnya agar menyedari dan memahami bahawa SPRM memerlukan rakyat sekaliannya untuk memerangi rasuah. Tanpa rakyat di sisi SPRM tidak mungkin gah di mata dunia.

Krisis Persepsi Ketidakpercayaan

Krisis persepsi ketidakpercayaan rakyat kepada SPRM telah lama berlaku, bermula namanya Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM, ianya masih berlaku sehingga hari ini, SPRM dan BPR sama saja, hanya tukar baju saja, itulah ungkapan yang sering kita dengar dalam mana-mana perbualan kita dengan kawan-kawan kita di kedai-kedai kopi.
Penjelasan demi penjelasan dalam menyedarkan rakyat dalam krisis persepsi ini menjadi satu Aspirasi SPRM pada tahun 2010. Namun sejauh mana SPRM dapat mengubah persepsi ini, di mana kurang lebihnya SPRM dalam usaha mendidik rakyat memerangi rasuah.

Sudah menghampiri akhir tahun, SPRM masih lagi tidak dapat memenangi persepsi rakyat, ditambah dengan dunia global dewasa ini, cukup-cukup menyukarkan usaha mengubah persepsi rakyat terhadap SPRM.

Persepsi rakyat terhadap SPRM dengan persepsi rakyat terhadap rasuah adalah dua perkara yang berbeza, persepsi rakyat terhadap rasuah sudah lama disedari, jika tidak masakan SPRM menerima ratusan laporan dalam setiap bulan. Walaupun masih dalam tapisan, tasawwur awalnya menggambarkan rakyat kian memahami tanggungjawabnya kepada negara.

Apa yang menjadi kebimbangan rakyat adalah terhadap SPRM yang dikatakan menangkap ikan bilis, sedangkan ikan jerung dilepaskan sahaja. Inilah persepsi yang menerjah dan menerpa rakyat sekaliannya, walhal realitinya SPRM telah melakukan siasatan. Cuma SPRM tidak mendedahkan hasil siasatannya kerana ianya akan mengganggu siasatan.
Adakah penjelasan seperti ini, akan memuaskan hati dan mengubah persepsi rakyat sekaliannya. Itu mungkin hanya tepuk dada dan tanya selera mereka.

Apa yang penting, rakyat jangan berhenti bercakap tentang rasuah, biar rasa jijik dengan rasuah ini berterusan, tanamkan dalam jiwa setiap anak-anak kita tentang peri jeliknya rasuah, namun janganlah tanamkan persepsi buruk terhadap SPRM. Walaupun benar persepsi itu, maka datanglah berunding dengan pihak SPRM, membetulkan dari dalam. Ianya lebih berkesan daripada mengwar-warkan kepada luar kerana kesannnya cukup parah di masa kelak.

Bersama Lakukan Perubahan Perangi Rasuah.

No comments: