Thursday, January 15, 2015

Penubuhan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung Dan Dana Banjir




PUTRAJAYA, 12 Januari 2015 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Audit Negara telah menubuhkan ‘Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir’ bagi memastikan pengurusan dana dan tabung banjir dikendalikan dengan telus dan teratur serta bebas daripada penyelewengan dan salah laku.

Bagi maksud itu, satu Bilik Gerakan telah dibuka di Pejabat SPRM Kelantan. Bilik Gerakan ini akan berperanan sebagai Pasukan Khas, yang dianggotai oleh wakil SPRM, MKN dan Jabatan Audit Negara. Pasukan Khas ini akan menyiasat segala aduan dan maklumat mengenai penyelewengan dan salah laku dalam pengurusan dana dan tabung banjir.

Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan ini menerusi talian 019-284 9134, 019-284 9234 atau 019-284 9389. Jawatankuasa ini akan diketuai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Mustafar Ali. Ia turut dianggotai oleh wakil MKN dan Jabatan Audit Negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata inisiatif dan kolaborasi sebegini perlu dicontohi oleh jabatan-jabatan lain.

“Inisiatif ini adalah hasil usaha MKN dan merupakan permintaan MKN sendiri,” jelasnya lagi.

Beliau memberitahu SPRM juga ada menerima satu aduan berkenaan dengan pengagihan bekalan setakat ini. Bagaimanapun, ia tiada kaitan dengan elemen rasuah ataupun penyelewengan.

Beliau juga berkata, Jawatankuasa ini akan memfokus kepada beberapa perkara iaitu sebagai satu saluran bagi masyarakat melaporkan sebarang aduan mengenai salah laku pengurusan bantuan kepada mangsa banjir.

Selain itu, Jawatankuasa ini turut membantu kerajaan dalam memastikan pengurusan tabung dan dana yang telus dan teratur serta sampai kepada mangsa-mangsa banjir serta mengkaji dan mencadangkan penambahbaikan integriti sistem penyampaian dan pengurusan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Dalam pada itu, Setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab menjelaskan Jawatankuasa ini turut akan memantau sebarang tabung atau dana banjir yang diterajui oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

“Kita akan menelitli setiap aduan serta membantu NGO dan sektor swasta untuk meningkatkan ketelusan dan sistem integriti,” jelasnya.

Beliau turut berkata Jawatankuasa ini akan melaksanakan kaedah terbaik yang boleh digunakan untuk menyalurkan peruntukan RM500 juta oleh pihak kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir secara telus, amanah dan berintegriti.

“Fungsi Jawatankuasa ini adalah untuk memantau dan memastikan pemberian bantuan dan peruntukan kepada mangsa banjir dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Audit Negara (Sektor Audit Kerajaan Persekutuan), Datuk Haji Anwari Suri. Menurut Anwari, Jabatan Audit akan melaksanakan ‘Compliance Auditing’ bagi memastikan pematuhan dari segi prosedur.

SUMBER: http://www.sprm.gov.my/bt-jk-tabung-banjir.html
Youtube: https://www.youtube.com/watch?v=JD-_qLmUT4c

#SPRUMS : SPRM telah berusaha membantu,agar masyrakat Malaysia dapat menderma tanpa penyelewangan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab. untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang amat diperlukan.
dan kami mengharap masyarakat dapat melaporkan kepada talian yang diberi jika was-was dengan peminta derma. agar pihak SPRM dengan 2 jabatan lagi dapat membantu membanteras masalah ini.

No comments: