Showing posts with label Rasuah. Show all posts
Showing posts with label Rasuah. Show all posts

Wednesday, March 15, 2017

Aku Masih Kenyang



Noratifah Hanis Amran - Alumni Sekretariat Pencegahan Rasuah Universiti Malaysia Sabah

‘Pegawai kerajaan disabit kesalahan pecah amanah’

‘Isi perut dengan duit kopi’

‘Rasuah kolar putih’

Huhhhhhh. Keluhan dihembus. Surat khabar tempatan ditutup dan diletakkan di tepi. Pandangannya jauh menembusi panorama petang. Kopi dihirup perlahan. Dadanya diurut lembut. Tua. Dirinya sudah dimamah usia. Pak Soleh mengambil tasbih dan menyambung zikirnya tanda hubbul pada Rabb yang memberikannya pelbagai nikmat walaupun sudah berusia 85 tahun.

“Subhanllah..Subhanallah..Subhanallah..”

Tiba-tiba cucunya Umar Yazziq menerpa dan duduk berteleku di hadapan Pak Soleh.

“Atuk, kenapa betambah satu kedut kat muka atuk tu? Hehe. Apa atuk tengah fikirkan tu?” Celoteh kanak-kanak berusia 10 tahun itu membuatkan Pak Soleh tersenyum.

“Umar sayang... Terkejut atuk. Atuk ingat kedut-kedut ni akan hilang. Makin bertambah rupanya. Atuk baca surat khabar tu, tapi tajuknya tak best,” balas Pak Soleh sambil menghulurkan surat khabar kepada Umar. Seraya itu Umar membaca tajuk muka hadapan.

“ Pegawai kerajaan disabit kesalahan pecah amanah”.

“Atuk, pecah amanah ni macam mana? Macam mana nak pecahkan amanah?” Kepalanya digaru walaupun tidak gatal. Pak Soleh tergelak kecil.

“Umar nak dengar satu kisah tak?” Soal Pak Soleh.

“Nak! Nak! Kisah apa atuk?” Teruja Si Kecil.

“Kisah tentang Umar.”

“Eh. Kisah tentang Umar? Umar ni ker atuk?” Umar bertanya sambil meletakkan tangannya di dada dengan muka kehairanan.

“Haha. Bukan kisah Umar Yazziq Bin Fakri tapi Umar Bin Abdul Aziz. Seorang khalifah yang terkenal dengan kejujurannya dalam memerintah negara,” terang Pak Soleh.

“Ohhh hehe. Ceritalah atuk. Tak sabar ni nak dengar,” Umar betulkan gaya duduknya. Matanya membulat cuba fokus dengan cerita yang akan diceritakan oleh datuknya.

“Okay. Ceritanya begini... Eh atuk lupa. Hari ni Umar belum tasmi’ (perdengarkan bacaan) lagi kan?” Pak Soleh bertanya sambil jari telunjuk kanannya di goyangkan beberapa kali.

“Alaaa atuk cerita la dulu..lepas tu baru tasmi’ hehe,” Umar tersengih menampakkan barisan gignya yang tersusun cantik.

“Haaa mana boleh macam tu Umar. Tasmi’ dulu. Hari ni surah apa dah? Atuk lupa,” Pak Soleh mengerutkan dahinya.

“Hmmmm hari ni surah Al-Waq’iah. Alhamdulillah Umar dah hafal tapi baru separuh atuk,” ujar Umar.

“Alhamdulilah.. Takpe. Atuk nak dengar dulu yang separuh tu,” Pak Soleh tersenyum.

“Baik atuk. Bismillahirahhmanirrahim.. Iza waqa’atil waaqi’ah....” Bacaan diteruskan sehingga ayat 48 daripada 96 keseluruhannya.

“Alhamdulillah.. Hafazan dan bacaan Umar makin baik. Bagus cucu atuk. Tapi jangan lupa fahami maksudnya juga ya Umar,” pesan Pak Soleh.

“Terima kasih atuk. Umar dah baca maksud dia. Ngeri atuk. Surah ni cerita tentang hari kiamat. Nak nangis Umar baca,” terang Umar bersungguh-sungguh.

“Ambil pengajaran daripada setiap ayat tu ya Umar. Okay. Sekarang barulah boleh cerita..” Pak Soleh menarik nafas dalam.

“Kisahnya begini. Umar Bin Abdul Aziz merupakan cucu kepada Umar al-Khattab. Beliau seorang yang sangat amanah dan jujur dalam mentadbir negara. Pada suatu malam datang seorang utusan dari sebuah daerah. Umar Bin Abdul Aziz menyuruh pembantunya menyalakan sebatang lilin bagi menerangi perbualan tersebut. Umar Bin Abdul Aziz bertanya kepada utusan itu berkenaan setiap hal berkaitan rakyat dan penguasa di daerahnya. Utusan itu menyampaikan segala apa yang diketahuinya tanpa berselindung. Selepas itu utusan tersebut bertanyakan pula kepada Umar Bin Abdul Aziz berkenaan diri dan keluarganya. Tiba-tiba.....” Pak Soleh mencelikkan matanya sambil mengangkat kedua belah tangan seolah-olah seekor serigala yang ingin menerkam seekor ayam.

“Tiba-tiba apa atuk? Keluar hantu ker?” Umar Yazziq mendekatkan badannya pada Pak Soleh.

“Haha. Bukan.. Atuk main-main jer. Tiba-tiba Umar Bin Abdul Aziz meniup lilin tersebut. Keadaan menjadi gelap gelita. Umar Bin Abdul Aziz menjawab soalan utusan tersebut yang menanyakan perihal diri dan keluarganya. Utusan itu terkejut dengan tindakan Umar Bin Abdul Aziz lantas dia bertanya mengapakah Umar Bin Abdul Aziz memadamkan lilin tersebut setelah dia bertanyakan soalan peribadi kepada Umar Bin Abdul Aziz. Lalu Umar Bin Abdul Aziz menerangkan bahawa lilin tadi adalah kepunyaan rakyat, kepunyaan negara maka digunakan hanya bagi urusan negara dan pentadbiran walhal utusan itu bertanyakan tentang hal peribadi. Umar Bin Abdul Aziz tidak mahu menggunakan harta rakyat bagi tujuan peribadi. Betapa jujur dan amanahnya Umar Bin Abdul Aziz yang tidak sekali-kali memakan harta rakyatnya. Jadi begitulah ceritanya wahai Umar Yazziq. Pecah amanah ni maknanya seseorang itu tidak amanah atau tidak jujur dengan kerja yang dilakukannya. Dia pentingkan diri sendiri. Macam itu lah lebih kurang,” Pak Soleh menggerak-gerakkan kakinya yang agak lenguh kerana telah lama duduk di kerusi.
Umar pula masih dengan muka terujanya. Seketika kemudian dia bersuara.

“Atuk.. Hebatnya Umar Bin Abdul Aziz. Lilin sebatang pun dia tak guna. Mesti negaranya maju dan aman kan atuk. Malaysia pula macam mana atuk?” Soal Umar.

Pak Soleh terbatuk mendengar soalan daripada Umar.

“Alhamdulillah Malaysia masih aman. Kalau nak lagi aman, Umar jadilah Perdana Menteri suatu hari nanti,” Pak Soleh cuba memberi jawapan yang terbaik bagi seorang kanak-kanak 10 tahun yang masih tidak mengerti apa-apa berkenaan negara dan politik. Pak Soleh juga tidak berhasrat untuk bercerita panjang mengenainya.
“Hmmm Umar nak lah jadi Perdana Menteri. Umar Yazziq Bin Fakri nak jadi macam Umar Bin Abdul Aziz!” Umar melompat bangun dan membuat gaya Ultraman yang sedang beraksi melawan raksasa.

Pak Soleh ketawa melihat telatah cucunya itu. Dia kagum dengan semangat yang ditunjukkan Umar.

“Boleh Umar. In sha Allah. Umar boleh jadi seorang pemimpin yang baik. Umar kena mentadbir negara mengikut cara Islam supaya mendapat keberkatan daripada Allah. Satu atuk nak pesan, kalau Umar dah jadi pemimpin suatu hari nanti, kalau timbul apa-apa masalah, jangan salahkan orang lain tapi tengok pada diri kita dahulu. Kalau ada yang nak rasuah Umar, Umar jawab macamni 
“Terima kasih, saya masih kenyang”,”

Sekali lagi Umar menggarukan kepalanya. Pak Soleh tahu Umar tidak mengerti akan apa yang dikatakannya.

“Dah. Jangan garu kepala lagi. Satu hari nanti Umar akan faham apa maksud atuk tu”.

“Baiklah atuk. Umar nak belajar bersungguh-sungguh. Umar tak nak malas-malas. Umar nak rajin baca al-Quran, Umar nak hafal al-Quran baik-baik,” mata Umar bersinar-sinar.

Sebuah kisah dapat mengobarkan semangat seorang anak kecil. Keazaman dan iltizam dipacak di hatinya. Pandangannya jauh memasakkan cita-citanya yang tinggi.

Pada malam itu semasa makan malam, Umar Yazziq menceritakan kisah yang diceritakan datuknya pada petang tadi kepada Walid dan Umi nya. Mereka mendengar dengan tekun meraikan kesungguhan anak syurga itu.

****
Kini 10 tahun berlalu Umar Yazziq kini sudah berusia 20 tahun dan berada di Universiti Malaya melanjutkan pelajaran dalam jurusan Perundangan Islam tahun ke dua. Pak Soleh sudah tiada lagi. Lima tahun yang lalu Pak Soleh telah meninggal dunia akibat sakit tua.
Umar seorang pelajar yang sangat rajin dan tekun. Cita-citanya masih sama. Ingin menjadi seorang pemimpin negara. Setiap hari Umar akan mengkaji sejarah pemimpin-pemimpin Islam termasuklah Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar, Saidina Uthman Bin Affan, Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Ali. Umar berasa kagum dengan ketakwaan setiap pemimpin yang dikajinya. Islam dibawa dan disebar dengan penuh hikmah.
Pada minggu ketiga semester ke dua, penamaan calon bagi Majlis Perwakilan Pelajar akan diadakan. Umar berhasrat untuk masuk bertanding tambahan pula rakan-rakannya sangat menyokongnya kerana mereka telah mengenali seorang Umar Yazziq Bin Fakri yang sangat baik akhlaknya, sangat amanah dengan setiap kerja yang dilakukannya, sangat disenangi oleh pensyarah dan setiap kakitangan di universiti itu termasklah tukang cuci dan pekebun.
Setelah berfikir dan bertanya pendapat kawan-kawan serta tidak lupa juga Walid dan Umi nya, Umar membuat keputusan untuk masuk bertanding. Niatnya satu. Untuk membawa Islam dalam kepimpinannya seperti yang dipesan oleh arwah datuknya, Pak Soleh.
“Umar. Aku yakin kau akan menang. Aku sokong kau,” Ahmad teman karib Umar memberi sokongan.
“In sha Allah. Amin Ya Rabb.. Terima kasih sahabat. Aku akan buat yang terbaik. Ini adalah salah satu peluang dakwah terbesar bagi aku. Tapi walaupun nanti ditakdirkan aku kalah, dakwah tetap berjalan bro.. haha,” balas Umar sambil tangannya sedang menaip manifesto-manifesto yang akan dibentangkan pada minggu hadapan.
“Betul Umar, dakwah tetap berjalan. Islam pasti akan menang. Allahuakbar!” Semangat betul Ahmad.
“Allahuakbar! In sha Allah.. Eh sekarang dah pukul 11.15. Kau dah dhuha belum?” Soal Umar yang sentiasa peka akan amalan ibadah.
“MashaAllah! Aku lupa. Terima kasih ingatkan. Umar sebelum aku pergi ni, ada benda aku nak bagitahu kau,” Ahmad bangun dan berdiri tegak di hadapan Umar.
“Ya. Apa dia kau nak bagitahu? Serius betul aku nampak,” Umar kehairanan.
“Umar, I love you bro! Haha aku pergi dulu,” seraya itu Ahmad menyusun langkah. Pantas. Lalu menghilang.
Umar tergelak keseorangan. Itulah Ahmad. Umar faham kenapa Ahmad mengucapkan ucapan sayang kepadanya kerana semasa halaqah semalam, murobbi (guru) menyatakan bahawa jika sayangkan seseorang, maka ucapkanlah kepada orang tersebut. Di dalam hati Umar, “Aku pon sayang kau bro! Lillahita’alaa.”
Beberapa hari kemudian, Umar disapa oleh Aidil. Aidil adalah kawan rapat kepada Baihaqi iaitu antara calon pilhan raya nanti.
“Umar, aku ada hal sikit nak cakap dengan kau ni,” Aidil memulakan bicara.

“Ya Aidil. Lama tak nampak kau. Hal apa tu?” Tanya Umar.

“Aku rasa baik kau tarik diri lah dalam pilihan raya nanti. Kau takkan menang. Kau tengok Baihaqi. Dia power weh. Macam-macam dia bagi hari tu masa bentang manifesto. Dia siap bagi duit lagi setiap orang yang datang hari tu. Baihaqi mesti akan menang. Kau apa ada?” Aidil cuba menaburkan sentimen provokasi. Mukanya seakan-akan mengejek dan merendahkan Umar.

Umar tersenyum. Dia harus pandai menyusun kata.

“Kalau kau yakin Baihaqi akan menang, kenapa kau suruh aku tarik diri? Menangnya Baihaqi nanti kerana kehebatannya bukan kerana aku ada atau tiada,” bidas Umar lembut.

Aidil tersentap. Lidahnya kelu. Namun dia tidak putus asa.

“Okaylah Umar. Aku malas nak cakap banyak dengan kau. Nah kau ambil ni lepas tu kau tarik diri,” Aidil menyerahkan sebuah sampul yang isinya kelihatan agak tebal.

“Apa ni?” Umar menyoal.

“Kau tengoklah sendiri,” balas Aidil sambil mencebikkan bibirnya.
Umar membuka sampul tersebut. Mukanya agak terkejut namun dikawal agar nampak tenang.

“Maaflah. Aku bukan orang yang macam ni, Aidil. Aku tahu duit ni daripada Baihaqi dan kau disuruh untuk bagi pada aku kan?” Umar tidak menyangka Baihaqi akan bertindak sejauh ini. Tempoh hari Baihaqi telah merasuah pelajar-pelajar yang datang sewaktu pembentangan manifestonya. Tidak diduga, Baihaqi tergamak merasuahnya juga. Namun, hari ini dan selamanya dia takkan termakan dengan rasuah.

“Hek eleh.. Kau tak payah perasan baikla Umar.. Kalau tak cukup kau bagitahu. Nak tambah berapa banyak? Baihaqi boleh bagi laa,” Aidil masih berusaha.

“Aku tahu Baihaqi tu anak Dato’, duit berkepok-kepok. Duit bukan masalah bagi dia tapi terima kasih jer lah. Aku masih kenyang. Aku tak makan rasuah. Aku tak perlukan duit haram untuk kenyangkan perut aku,” Umar mengawal perasaanya.

“Huh. Takpe. Kau tengok nanti. Kau ingat kau bagus sangat??!!” Aidil menyemburkan kata-kata terakhir lalu berlalu pergi dengan muka yang tidak puas hati dan penuh dendam.
Umar beristighfar. Dia bersyukur masih ditetapkan iman supaya tidak goyah dengan godaan dunia iaitu harta.

****

Tibalah hari penentuan. Pilihan raya berlangsung dengan lancar. Seperti yang dijangka, Umar mengungguli carta. Boleh dikatakan Umar telah menang besar pada hari itu. Ucapan tahniah tidak putus-putus diterima daripada rakan-rakan, para pensyarah dan semua yang mengenalinya.

“Hey Mister President! Tahniah! Kau memang layak bro!” Ahmad tiba-tiba muncul.

“Alhamdulillah. Ni amanah besar. Sekarang diibaratkan sebelah kaki aku berada di neraka. Kalau aku tak jalankan amanah ni dengan sebaik mungkin, di situ lah tempat aku. Na’uzubillahiminzalik...” Kata Umar yang bertujuan mengingatkan dirinya tentang tanggungjawab yang dipikulnya.

“Perghh sentap masuk ke qalbu beb! In sha Allah kau boleh. Orang baik macam kau mesti dapat membawa orang lain ke arah kebaikan. Tengok macam aku ni. Dulu betapa jahilnya aku tapi lepas kenal kau, aku dah berubah sikit-sikit. Terima kasih Umar. Kau sahabat dunia akhirat aku. Alahai.. mata masuk habuk lah pulak...” Ahmad menumbuk lembut bahu Umar.

“Allahuuu. Aku takde buat apa-apa pun Ahmad. Hidayah tu milik Allah, tugas menyampaikan ajaranNya adalah tugas kita semua. Kau pon banyak tolong aku. Melihatkan kesungguhan kau nak berubah, menaikkan semangat aku untuk istiqamah. Kita sama-sama tolong menolong ya sebab nanti kita kan sama-sama nak masuk syurga. Alamak... Mata aku pun macam masuk habuk juga la beb...” Balas Umar.

Mereka gelak bersama. Ukhuwah yang indah tercipta apabila ianya kerana Allah.

****

Seminggu kemudian ketika Umar berjalan pulang ke asrama, tiba-tiba dia terasa diekori daripada belakang. Apabila dia menoleh ke belakang, ternyata Baihaqi dan kawan-kawannya yang sedang mengikut langkahnya. Umar memberhentikan langkahnya. Dia tahu yang perkara yang buruk akan berlaku namun dia ingin menyelesaikan perkara ini untuk mengelakkan permusuhannya dengan Baihaqi.

“Weh Umar! Aku dah lama tak puas hati dengan kau! Kenapa semua orang suka kat kau hah??!! Apa hebatnya kau? Kalau kau tak wujud, mesti aku yang menang hari tu!!” Baihaqi melepaskan amarahnya.

“MashaAllah.. Apa lagi ni Baihaqi.. Tak cukup ker hari tu kau cuba nak rasuah aku.. Kalau aku ada buat salah dengan kau, aku minta maaf. Sudah-sudahlah. Kita semua saling memerlukan antara satu sama lain. Jangan ada perasaan dendam..” Belum sempat Umar menghabiskan kata-katanya, satu tumbukan hinggap di pipinya. Umar terduduk. Pedih.

“Kau tak payah nak berceramah kat sini la woi!! Semak lah!! Dah. Pukul dia!!” Lantas tumbukan, sepak terajang hinggap di seluruh tubuhnya. Umar tidak mampu melawan lima kuasa yang datang.
“ Inilah balasan yang akan diterima untuk orang yang cuba menentang aku.” Katanya angkuh. Umar hanya mampu melihat sebelum tidak sedarkan diri. Baihaqi dan kawan-kawannya terus pergi meninggalkannya.

Tanpa mereka sedari, ada seorang pelajar yang menyaksikan kejadian tersebut. Dia yang membawa Umar ke hospital. Pelajar tersebut juga telah melaporkan hal itu kepada ketua asrama.
Baihaqi dan kawan-kawannya telah ditangkap dan mereka telah digantung pengajian selama setahun sebagai hukuman atas apa yang dilakukan kepada Umar.

Dua hari kemudian, Umar dibenarkan keluar daripada hospital. Kawan-kawannya terutama Ahmad menyuruhnya berehat di bilik untuk beberapa hari lagi sehingga dia betul-betul kuat dan sihat.
“Umar, kau rehatlah dulu. Takpe. Nanti aku sediakan nota kuliah untuk kau,” Ahmad begitu mengambil berat tentang keadaan Umar.
“Aku dah sihat ni. Aku boleh berjalan. Semua anggota badan aku masih berfungsi dengan baik. Luka ni pon dah nak sembuh dah. Jangan risau. Imam Hassan Al-Bana ada berkata ‘Tanggungjawab kita adalah lebih banyak daripada masa yang kita ada’, jadi setakat sakit macam ni, takkan aku nak abaikan tanggungjawab aku. Rasulullah SAW dan para sahabat pada zaman dahulu lagi teruk diorang kena tau. Aku ni apalah sangat. In sha Allah aku boleh,” bicara Umar sambil melirikkan senyuman.

“Kalau kau dah cakap macam tu Umar..apa lagi yang boleh aku cakap kan. Tapi kalau kau nak minta tolong apa-apa, bagitahu aku. Jangan susahkan diri sendiri pula,” pesan Ahmad.

“Iyaa.. kalau aku tak minta tolong dengan kau, aku nak minta tolong dengan siapa lagi kan,” Umar menumbuk perut Ahmad.

Kejadian yang berlaku pada tempoh hari tidak sedikit pun melemahkan semangat Umar. Baginya, ini baru sedikit cabaran yang di hadapi. Jika dia benar-benar menjadi pemimpin negara suatu hari nanti, lebih banyak cabaran yang akan dihadapinya. Namun, Umar yakin, jika segalanya dilakukan kerana Allah, pasti Allah akan sentiasa membantunya dan dia juga yakin kebenaran sentiasa akan menang.

****

Sepanjang Umar menjalankan tugas sebagai Pengarah Majlis Perwakilan Pelajar, segalanya berjalan lancar. Banyak idea bernas yang Umar usulkan dan laksanakan. Banyak perubahan baik yang telah Umar lakukan. Hari-hari di universiti tidak lekang dengan majlis-majlis ilmu. Bi’ah (suasana) solehah jelas dirasa oleh semua penduduk Universiti Malaya. Masalah-masalah disiplin semakin kurang. Kecemerlangan akademik terasa lebih berkat. Setiap masalah dan cabaran mampu dihadapi dengan tenang oleh Umar.

Pada suatu pagi, selepas membaca al-matsurat, Umar membaca Surah al-Waqi’ah. Sudah menjadi rutin hariannya semenjak dahulu lagi. Dia membaca dengan penuh penghayatan dan membayangkan azab daripada Allah dan seksa api neraka. Hatinya bergetar. Gerun. Dia teringat akan datuknya.

Di dalam hatinya,
“Atuk, Umar dah faham apa yang atuk bagitahu dulu. Umar dah amalkan apa yang atuk pesan. Atuk, Umar takkan mengalah. Umar takkan termakan dengan hasutan mereka biar diberi segunung emas sekalipun. Umar masih kenyang. Umar Yazziq Bin Fakri nak jadi macam Umar Bin Abdul Aziz,”

Air mata rindu mengalir di pipinya. Dibacanya al-Fatihah dan disedekahkan kepada arwah datuknya.

-Tamat-

Monday, March 13, 2017

PERTANDINGAN MEREKA CIPTA VIDEO


[SEKRETARIAT PENCEGAHAN RASUAH, UNIVERSITI MALAYSIA SABAH]
▶ Anda seorang yang berminat/ingin menghasilkan video ciptaan anda sendiri?
▶ Ingin menyerlahkan bakat anda dalam penghasilan video?
▶ Ingin mendapatkan penganugerahan daripada bakat anda?
▶ Tidak tahu di mana untuk menghantar hasil pembikinan video anda?

Jadi...apa tunggu lagi!!! JOM SERTAI PROGRAM KAMI IAITU "PERTANDINGAN MEREKA CIPTA VIDEO" yang bertemakan #KitaBersihRasuah anjuran Sekretariat Pencegahan Rasuh, Universiti Malaysia Sabah (SPR UMS),
🤠 Inilah peluang anda untuk menyerlahkan bakat anda dalam penghasilan video!!!
🤠 Bakat anda tidak akan sia-sia di sini!!!
Butiran program adalah seperti berikut:
📆 Tempoh: 13 Mac 2017 - 9 April 2017
💵 Yuran penyertaan: RM10.00/Kumpulan
💰Hadiah: Wang tunai & Sijil Penyertaan
🎞 Tema: #KitaBersihRasuah
Sebarang pertanyaan sila hubungi:
📱Izzati = 010-8106627
📱 Nadhirah = 017-9215633
Langkah pertama anda untuk sertai pertandingan ini mungkin akan menjadi pemangkin yang akan mengubah masa depan anda dalam pembikinan video ðŸ‘©ðŸ‘©ðŸ‘©ðŸ‘©‍🎓👨👨👨

Thursday, March 2, 2017





Tan Sri Aziz Kamaruddin berkata lagi 
" ... tetapi masalahnyakebanyakan daripada mereka yang terlibat dengan rasuah merupakan orang beragama Islam. makan Rasuah itu haram, ibaratnya seperti makan babi tetapi masih banyak orang melayu yang menerima rasuah"

diambil dari artikel yang ditulis oleh PPs. Faridah Mahabob

Wednesday, March 1, 2017

ARTIKLE: Rasuah : Antara Realiti dan Persepsi

thursday, October 14, 2010

Salam Hijau Aman...
Aku menulis di sini sebagai orang biasa yang hanya berpersepsi, persepsi aku ini adalah melalui pengalaman aku yang dulunya adalah realiti.

Realiti dan persepsi dilihat dua perkara yang berbeza, tidak kira di dalam ruang lingkup apa pun. Namun, kadang-kadang persepsi itulah yang akan menjadi asas terciptanya realiti.
Ibarat Adik Beradik Wright yang mencipta kapal terbang, bagaimana mereka mahukan besi boleh terbang, orang kata mereka gila, namun persepsi orang terhadap idea mereka mencetuskan booster dalam diri Adik Beradik Wright mencipta kapal terbang menjadi realiti.
Dalam ruang lingkup rasuah di negara kita, persepsi orang ramai terhadap rasuah yang berlaku di negara kita begitu buruk, kerja keras SPRM dipandang serong oleh rakyat sekaliannya. Namun ini semua persepsi rakyat yang dilihat akan memburukkan lagi nndeks rasuah di negara kita.

Dalam konteks realiti, SPRM adalah badan yang bertanggungjawab menerangkan kepada rakyat tentang peri buruknya rasuah dalam institusi negara. Tidak dapat tidak SPRM adalah badan yang Bebas, Telus dan Profesional dalam menjalankan tugasnya.

Cuma yang tinggal adalah persepsi rakyat terhadap SPRM untuk percaya atau tidak tentang kebebasan, ketelusan dan tahap profesionalisme pegawai-pegawai SPRM.
Mungkin rakyat ada sebab tersendiri dalam mempercayai persepsi lebih daripada realiti setiap usaha yang dilakukan SPRM dalam membentuk masyarakat yang jijikkan rasuah. Mungkin juga rakyat masih lagi samar tentang usaha yang dilakukan SPRM dalam usaha untuk melahirkan rakyat yang menyedari peri pentingnya memerangi rasuah.

Apa pun persepsi rakyat, ini akan mengundang padah kepada SPRM, persepsi yang memburuk-burukkan SPRM semakin membanjiri di dalam blog-blog, media-media dan di kedai-kedai kopi.

Kemelut SPRM dalam mengajak rakyat untuk bersama-sama memerangi rasuah akan menggapai zaman gelap sekiranya rakyat tidak berganding bahu bersama. Walaupun pelbagai tohmahan persepsi yang menggoncang, namun SPRM tetap utuh bagi menjayakan misi memerangi rasuah.

SPRM hanya mengharapkan kepada rakyat seluruhnya agar menyedari dan memahami bahawa SPRM memerlukan rakyat sekaliannya untuk memerangi rasuah. Tanpa rakyat di sisi SPRM tidak mungkin gah di mata dunia.

Krisis Persepsi Ketidakpercayaan

Krisis persepsi ketidakpercayaan rakyat kepada SPRM telah lama berlaku, bermula namanya Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM, ianya masih berlaku sehingga hari ini, SPRM dan BPR sama saja, hanya tukar baju saja, itulah ungkapan yang sering kita dengar dalam mana-mana perbualan kita dengan kawan-kawan kita di kedai-kedai kopi.
Penjelasan demi penjelasan dalam menyedarkan rakyat dalam krisis persepsi ini menjadi satu Aspirasi SPRM pada tahun 2010. Namun sejauh mana SPRM dapat mengubah persepsi ini, di mana kurang lebihnya SPRM dalam usaha mendidik rakyat memerangi rasuah.

Sudah menghampiri akhir tahun, SPRM masih lagi tidak dapat memenangi persepsi rakyat, ditambah dengan dunia global dewasa ini, cukup-cukup menyukarkan usaha mengubah persepsi rakyat terhadap SPRM.

Persepsi rakyat terhadap SPRM dengan persepsi rakyat terhadap rasuah adalah dua perkara yang berbeza, persepsi rakyat terhadap rasuah sudah lama disedari, jika tidak masakan SPRM menerima ratusan laporan dalam setiap bulan. Walaupun masih dalam tapisan, tasawwur awalnya menggambarkan rakyat kian memahami tanggungjawabnya kepada negara.

Apa yang menjadi kebimbangan rakyat adalah terhadap SPRM yang dikatakan menangkap ikan bilis, sedangkan ikan jerung dilepaskan sahaja. Inilah persepsi yang menerjah dan menerpa rakyat sekaliannya, walhal realitinya SPRM telah melakukan siasatan. Cuma SPRM tidak mendedahkan hasil siasatannya kerana ianya akan mengganggu siasatan.
Adakah penjelasan seperti ini, akan memuaskan hati dan mengubah persepsi rakyat sekaliannya. Itu mungkin hanya tepuk dada dan tanya selera mereka.

Apa yang penting, rakyat jangan berhenti bercakap tentang rasuah, biar rasa jijik dengan rasuah ini berterusan, tanamkan dalam jiwa setiap anak-anak kita tentang peri jeliknya rasuah, namun janganlah tanamkan persepsi buruk terhadap SPRM. Walaupun benar persepsi itu, maka datanglah berunding dengan pihak SPRM, membetulkan dari dalam. Ianya lebih berkesan daripada mengwar-warkan kepada luar kerana kesannnya cukup parah di masa kelak.

Bersama Lakukan Perubahan Perangi Rasuah.

Tuesday, February 28, 2017



Jangan kamu khianati amanah rakyat. jangan hanya mahu didendang dan dijualang di persada takhta, sedang pertimbangan dan kepentingan rakyat dibiar alpa.


segala janji yang dtaburkan, harus dijelmakan menjadi lebih dari sekadar harapan. 


hentikan membuai para marhaen dengan ciptaan dan dongengan yang mengaburi kebenaran, sedang jari jeramimu terus rakus meragut habuan.


laksanakanlah amanah yang dituntut dan perjuangkanlah nasib rakyat yang dahagakan pembelaan dan perjuanganmu.
yakinkanlah kami dengan menentang kebejatan rasuah dan salah guna kuasa.


agar lenyap dan hilang di dunia, segala racun yang menjadi pemusnah merobek nilai-nilai bangsa.

Monday, February 27, 2017

ARTIKLE BAHANA RASUAH MENJADI BUDAYA




Oleh
Dato’ Ahmad Khusairi Haji Yahaya
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.


Di negara ini, rata-rata masyarakat telah mengetahui bahawa rasuah merupakan suatu perbuatan jenayah dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda 5 kali nilai ganda suapan atau kedua-duanya sekali. Di samping tindakan punitif tegas yang dikenakan kepada pesalah rasuah, pelbagai dasar, peraturan dan program-program berbentuk pencegahan serta pendidikan masyarakat dilaksanakan bagi membendung gejala ini.


Rasuah ibarat barah yang secara perlahan menyelinap ke seluruh setiap inci anggota tubuh manusia badan dan akhirnya memusnahkan keseluruhan sistem yang ada. Natijah keburukan jenayah rasuah bilamana ianya mula diserap menjadi budaya dalam sesebuah organisasi amatlah digeruni. Jenayah rasuah sekiranya berleluasa dan menjadi budaya sesebuah organisasi akan memberi kesan serta menjejaskan keseluruhan entiti dalam sistem sosial organisasi berkenaan. Ini termasuklah kesan terhadap pekerja, pelanggan, interaksi sosial, perkhidmatan yang ditawarkan, sistem dan prosedur dan sebagainya.


Dalam konteks jenayah rasuah, golongan pekerja dalam sesebuah organisasi dapat dikategorikan kepada tiga kumpulan iaitu koruptor, oportunis dan berintegriti


Koruptor merupakan golongan yang bijak mengambil kesempatan atas kelemahan pemimpin, undang-undang dan peraturan, sistem dan prosedur bagi memenuhi kepentingan peribadi termasuk mengaut keuntungan bersifat kedudukan, kewangan dan harta benda. Golongan ini merupakan golongan minoriti tetapi amat berpengaruh dalam sistem sosial sesebuah organisasi. Berani meminta dan memujuk rayu suapan rasuah dan menggunakan unsur-unsur ugutan serta penindasan jika terdesak.


Oportunis merupakan kumpulan pekerja yang bersifat tunggu dan lihat. Tidak berani untuk membuat keputusan dan sentiasa berhati-hati dalam tindakan. Tidak meminta atau memujuk rayu tetapi menerima jika ditawarkan Golongan oportunis merupakan kumpulan majoriti dalam organisasi dan biasanya terdiri dalam kategori pertengahan dan bawahan. Mudah terpengaruh dengankemewahan yang ditonjolkan oleh golongan koruptor dan dalam masa yang sama takut tertangkap.


Golongan berintegriti merupakan kumpulan yang mempunyai prinsip hidup yang utuh dan sentiasa berpegang kepada undang-undang dan peraturan dalam setiap tindakan. Akibatnya, golongan ini sentiasa diketepikan dan diasingkan dalam sebarang proses membuat keputusan oleh pihak atasan yang korup. Ada juga di sesetengah organisasi, golongan ini digunakan sebagai boneka untuk menutup segala kelemahan dan keburukan yang berlaku dalam organisasi tersebut. Sebagai contoh, dilantik memegang jawatan berkaitan pelaksanaan aktiviti integriti, pencegahan rasuah dan sebagainya yang mana program-program ini hanya untuk golongan-golongan pekerja tertentu dan tidak pernah dihadiri oleh pegawai atasan.


Apakah petanda yang menunjukkan jenayah rasuah telah menjadi budaya dalam sesebuah organisasi? Rasuah Menjadi Budaya bila mana: 
  • Tohmahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan semakin banyak ke atas organisasi; 
  • Pemusatan kuasa hanya kepada seorang individu sahaja; 
  • Kuasa budi bicara melebihi peraturan dan prosedur; 
  • Semakin ramai orang tengah berurusan di kaunter; 
  • Broker projek, orang tengah, pembekal bebas keluar masuk pejabat; 
  • Keistimewaan diberikan kepada sesebuah syarikat atau individu; 
  • Wujud amalan cronyism dan favoritism dalam semua keputusan; 
  • Tiada dasar putaran kerja, pegawai berkhidmat di sesuatu tempat dalam tempoh yang lama; 
  • Pegawai enggan bertukar walaupun dinaikkan pangkat; 
  • Kehidupan pegawai dan staf amat mewah; 
  • Produktiviti dan prestasi organisasi turun naik, ada proses kerja yang cepat tapi ada yang sengaja dilewat-lewatkan; 
  • Birokrasi bertambah meruncing; 
  • Pelanggan dikenakan bayaran tambahan yang tidak sepatutnya; 
  • Pegawai meminta upah secara terang-terangan bagi mempercepatkan proses; 
  • Pembekal terpaksa membayar komisen dalam setiap pembekalan kepada pegawai; 
  • Rasuah berleluasa di setiap peringkat kakitangan bermula dari pengawal keselamatan hinggalah ke ketua jabatan; 


Bagaimana jenayah rasuah dapat memberi kesan dalam konteks pekerja? Kita biasa mendengar rungutan dan rasa tidak puas hati golongan pekerja yang ditindas termasuk dari segi tidak diberikan peluang untuk kenaikan pangkat malahan ditukarkan ke kawasan pendalaman hanya semata-mata enggan memenuhi arahan si ketua yang mahu meluluskan sesuatu permohonan kepada kroninya tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan. Akan tetapi bagi golongan oportunis undang-undang dan peraturan diketepikan semata-mata untuk memenuhi arahan ketua jabatan. Ada saja jalan pintas yang boleh dicipta menerusi peraturan yang lemah untuk memenuhi hajat si ketua. Undang-undang dan peraturan yang lapuk dimanipulasikan bagi mengukuhkan asas tindakan. Undang-undang dan peraturan diinterpretasikan mengikut kepentingan dan kehendak tertentu. Inilah kreativiti yang berjaya dipupuk oleh organisasi yang mengamalkan budaya rasuah.


Sebagai balasan kepada si oportunis, pelbagai bentuk keistimewaan diberikan oleh si ketua termasuk yang biasa kita dengar seperti cepat naik pangkat, bebas keluar masuk pejabat, tidak perlu buat kerja, hidup mewah, kekal selama-lamanya di tempat yang sama dan berkuasa penuh sehingga tidak boleh ditegur oleh sesiapa pun.


Kesannya perpecahan akan berlaku dalam sesebuah organisasi yang akhirnya mewujudkan perasaan berpuak-puak antara golongan pekerja, menimbulkan rasa tidak puas hati, melemahkan semangat kerja, mengabaikan peraturan serta prosedur dan yang paling membimbangkan bila mana orang luar yang tiada kena mengena dengan jabatan pun bebas keluar masuk ke pejabat ketua jabatan dan boleh pula memberikan arahan kepada pegawai dan staf untuk membuat itu dan ini.


Bagi golongan pekerja yang lemah psikologinya, akan mudah terjerumus dalam kancah jenayah rasuah. Rasa tidak puas hati dilepaskan dengan turut sama meminta wang rasuah bagi melaksanakan tugas masing-masing. “Apa yang nak dihairankan, bos pun sama, kalau kita tak ambil orang lain akan ambil juga” merupakan antara kata-kata yang sering diungkapkan bagi memujuk hati dan perasaan untuk menghalalkan perbuatan yang haram.


Bila rasuah menjadi budaya dalam organisasi, kedudukan di bahagian-bahagian strategik seperti perolehan, pelesenan, penguatkuasaan, pembangunan, teknikal dan sebagainya yang boleh dianggap sebagai lubuk emas akan diletakkan pegawai-pegawai yang sehaluan demi melicinkan “urusan” peribadi. Tidak hairanlah, kebelakangan ini muncul kes-kes di dada-dada akhbar yang berkaitan tangkapan BPR terhadap ketua jabatan hingga ke pembantu am pejabat, penguat kuasa lapor kegiatan rasuah penguat kuasa lain hanya kerana pembahagian wang rasuah dibuat secara tidak adil dan bermacam-macam kes panas yang membimbangkan.


Salah satu lagi entiti penting yang terjejas bila rasuah menjadi budaya organisasi adalah golongan pelanggan. Pelanggan terpaksa membayar lebih dari apa yang sepatutnya dibayar disebabkan “caj-caj” tertentu yang dikenakan oleh pegawai mahupun orang tengah (perantara). Pemohon yang benar-benar layak akan diketepikan disebabkan jenayah rasuah dan kronisme. Proses pembayaran bil yang sepatutnya diproses dalam tempoh 14 hari mengambil masa berbulan-bulan lamanya sehingga menjejaskan pembekal untuk membuat modal pusingan. Pelanggan terpaksa datang awal untuk merebut nombor giliran dan beratur panjang sedangkan kenalan dan kroni-kroni di biar masuk ikut pintu belakang.


Pelbagai bentuk masalah dan tekanan seperti karenah birokrasi, kelewatan proses, borang permohonan hilang, dokumen tak lengkap, pemeriksaan mengejut, saman dan kompaun atas kesalahan yang sengaja diada-adakan, operasi bagi mengganggu perniagaan dan berbagai-bagai cara dibuat bagi memaksa pelanggan membayar wang rasuah. Yang anehnya, bila duit kopi diselitkan pada borang permohonan, pegawai dibawa berhibur di pusat-pusat karaoke, hadiah-hadiah berharga disedekahkan dan perjanjian komisen ditetapkan kesemua proses berjalan dengan lancar, cepat, cekap dan efisien.


Kesan yang paling mengaibkan bila rasuah menjadi budaya adalah terhadap golongan pelanggan yang kurang berkemampuan, masyarakat luar bandar, kurang berpendidikan yang cuba mendapatkan perkhidmatan dan pembelaan daripada organisasi terbabit. Kes-kes yang melibatkan pegawai-pegawai yang sepatutnya mengagihkan bantuan kebajikan kepada orang kurang upaya dan warga emas telah menyelewengkan peruntukan terbabit untuk kepentingan diri masih berlaku. Orang kurang upaya dan warga emas yang bergantung pada bantuan kewangan ini ditipu dengan cap jari dan tandatangan diambil sebagai pengesahan palsu bahawa mereka telah menerima bantuan tersebut. Walhal bantuan kewangan tersebut di seleweng untuk kemewahan individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini.


Melihat kepada kesan jenayah rasuah bila ia menjadi budaya organisasi amatlah menggerunkan. Jenayah rasuah harus diperangi kerana ia mengakibatkan kerosakan yang berpanjangan khususnya terhadap imej dan kepercayaan masyarakat terhadap organisasi. Adalah mudah untuk kita mencapai kecemerlangan, tetapi sukar untuk kita mengekalkan kecemerlangan tersebut ditambah pula apabila imej organisasi tercalar disebabkan jenayah rasuah.


Bersama Kita Lakukan Perubahan Perangi Rasuah.

Sunday, February 26, 2017

ARTIKLE: KESEDARAN RASUAH RENDAH


SEJAK pelancarannya pada 26 April 2010 sehinggalah rencana ini ditulis seramai 144 orang telah ditangkap diseluruh negara atas kesalahan menyogok pegawai awam. Tempoh dua bulan ini memperlihatkan purata tangkapan ke atas pemberi rasuah dianggarkan duaorang setiap hari.
Statistik ini menunjukkan bahawa masyarakat masih lagi belum sedar bahawa perbuatan memberi atau menawarkan suapan rasuah merupakan satu perbuatan Jenayah yang serius. Sekiranya didapati bersalah hukuman berat termasuk penjarase hingga 20 tahun dan denda RM10000 atau lima kali ganda nilai suapan menanti pelakunya.
Media massa banyak membantu menyebarluaskan maklumat atau mesej berhubung Kempen Perangi Pemberi Rasuah ini Masyarakat didedahkan mengenai kesan buruk yang bakal dihadapi sekiranya terjebak dengan perlakuan ini. Berita-berita berhubung tangkapan pendakwaan dan hukuman yang dijatuhkan keatas pemberi rasuah hampir setiap hari dipaparkan dikaca televisyen mahupun didada akhbar-akhbar utama.
Namun pertambahan jumlah perangkaan yang semakin bertambah ini memperlihatkan isu berkaitan kesalahan memberi rasuah ini masih dianggap remeh oleh segolongan besar masyarakat.
Berdasarkan jumlah tangkapan keseluruhannya iaitu sebanyak 144 kes hampir 40 peratus atau 57 tangkapan melibatkan individu yang melakukan kesalahan jalanraya. Kenapa harus kita memperjudikan nasib dengan memberi sogokan rasuah atas kesalahan yang boleh dikompaun. Akibatnya bagi mengelakkan saman trafik yang bernilai RM300 kita terpaksa berhadapan pula dengan suatu kesalahan yang lebih serius iaitu berhadapan hukuman penjara dan denda yang lebih tinggi. Masyarakat harus mengubah persepsi negatif mereka terhadap penjawat awam khususnya anggota penguatkuasa. Zaman telah berubah begitu juga semangat dan iltizam penjawat awam. Maruah perkhidmatan awam bukan untuk digadai atau dijual. Wang ringgit bukan galang gantinya. Kewujudan anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi bertujuan memelihara keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalanraya keseluruhannya.
Segelintir masyarakat yang hanya mementingkan diri dengan melanggar peraturan yang ditetapkan wajar dihukum sebagai tanda pengajaran untuk menjadi lebih disiplin. Sikap cuai gopoh memandu secara melulu dan tidak sabar membuatkan individu menjadi pembunuh di atas jalanraya.
Atas sebab-sebab inilah maka kemalangan maut sering berlaku sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain yang tidak berdosa. Sesal dahulu berpendapatan sesal kemudian tiada gunanya. Kajian yang dijalankan oleh pihak berwajib menunjukkan kemalangan yang berlaku hampir 75 peratus disebabkan faktor kecuaian manusia.
Selain kesalahan jalanraya satu lagi kesalahan yang menjadi punca kepada perlakuan rasuah ialah kesalahan yang melibatkan pendatang tanpa izin. Penjawat awam sekali lagi cuba disogok untuk melindungi pendatang tanpa izin yang bukan sahaja memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah malahan terbabit dengan lain-lain kegiatan jenayah termasuk merompak, melacur, menyamun, dadah dan sebagainya.
Seramai 38 orang pendatang tanpa izin yang ditangkap kerana menyogok anggota penguatkuasa. Sudahlah memasuki negara ini tanpa sah cuba pula membeli penguatkuasa bagi menutup kesalahan mereka. Jangan sesekali samakan anggota penguatkuasa kita seperti di negara mereka.
Sekali lagi masyarakat harus sedar kesan dan akibat sekiranya PATI dibiarkan berleluasa menjalankan kegiatan mereka di negara ini. Kita bukan tidak biasa mendengar tumpasnya kegiatan samun pembunuhan, penculikan, rompakan, pengedarandadah, kegiatan samseng dan pelacuran yang melibatkan warganegara asing.
Hampir setiap hari dilaporkan dalam akhbar-akhbar berhubung jenayah berat yang dilakukan warga asing di negara tercinta ini. Adakah kita sebagai warganegara Malaysia mahukan kedamaian dan kesejahteraan yang kita nikmati ini diragut begitu sahaja dek kegiatan jenayah warga asing.
Sungguh memalukan jika diteliti dari segi jumlah wang rasuah yang cuba disogok kepada penjawat awam. Dari nilai RM3 hinggalah puluhan ribu ditawarkan untuk melindungi kegiatan mereka. Apakah nilai maruah dan harga diri seorang anggota keselamatan sekadar RM3sahaja.
Terdapat juga kata-kata nakal dikalangan kita yang mengatakan RM3 tangkap kalau RM30000 lepas. sebenarnya telahb anyak berubah baik dari segi sikap, nilai integriti mahupun budaya kerjanya.
Buktinya seramai 10 orang anggota penguatkuasa yang ditawarkan rasuah bernilai melebihi RM1000000 menolak sogokan tersebut dan menangkap si pemberi rasuah. Secara keseluruhannya jumlah suapan yang terlibat sepanjang dua bulan ini melibatkan sebanyak hampir RM350000.
Wang ringgit bukan lagi menjadi keutamaan yang dikejar. Sebaliknya amanah dan perjuangan menegakkan undang-undang menjadi perjuangan. Jenayah dan permasalahan sosial yang berlaku di sekeliling membuatkan penjawat awam semakin muak dengan ragam dan tingkah laku penjenayah yang semakin tidak menghormati kedaulatan undang-undang negara ini.
Kesannya rakyat yang tidak berdosa jadi mangsa. Keharmonian dan kesejahteraan hidup yang dikecapi semakin digugat. Ia bukanlah kata-kata retorik sebaliknya suatu kenyataan atau realiti yang harus diterima oleh segenap lapisan masyarakat.
Kempen Perangi Pemberi Rasuah ini akan diteruskan sehinggalah keseluruhan masyarakat sedar bahawa perbuatan memberi dan menawarkan suapan rasuah adalah kesalahan yang serius.
Berdasarkan kepada Statistik tangkapan ke atas pemberi rasuah Polis Diraja Malaysia harus diberikan pujian kerana telah berjaya menangkap lebih dari 50 orang pemberi rasuah diikuti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM menerusi operasi-operasi khasnya sebanyak 10 tangkapan RELA, 9 tangkapan JPJ, 8 tangkapan Imigresen, 5 tangkapan Perhutanan, 2 tangkapan Tenaga Nasional, 1 tangkapan dan PTG 1 tangkapan.
Tumpuan difasa kedua adalah serbuan mengejut secara bersepadu pelbagai agensi penguatkuasa di seluruh negara ke atas sarang-sarang pelacuran, pengedaran dadah, pusat-pusat hiburan, rumah-rumah urut, kilang-kilang haram, pembalakan haram, kecurian pasir dan premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan jenayah.
Strategi pendekatan serampang duamata ini sekiranya dijalankan secara telus bukan sahaja akan memberi pengajaran ke atas pelaku-pelaku rasuah malahan turut menghapuskan pelbagai kegiatan jenayah lain.

Saturday, February 25, 2017

ARTIKLE: WANG POLITIK VS. POLITIK WANG

  
    Secara amnya, sebuah parti politik memerlukan wang sebagai pendanaan untuk tujuan pilihan raya termasuk aktiviti-aktiviti parti politik yang lain seperti pendidikan, analisis polisi, latihan dan lain-lain. Semasa pilihan raya parti politik memerlukan jumlah dana yang banyak untuk menbiayai kempen pilihanraya, seperti perbelanjaan calon, pusat operasi kempen, poster dan media massa dan elektonik. Kebiasaanya kesemua kos-kos tersebut dibiayai dengan yuran keahlian, derma politik, makan malam untuk mendapatkan dana, penjualan buku dan juga dana daripada calon pilihan raya sendiri. Seiring dengan kenaikan kos sara hidup yang lain, kos untuk parti politik juga bertambah dan untuk menjalankan kempen pilihan raya memerlukan dana yang lebih daripada biasa. Persaingan untuk mendapatkan jawatan dan memenangi pilihan raya menjadikan kosnya melambung tinggi. Dalam proses ini, wujudnya politik wang.

Menurut Teh (2002) beliau merujuk politik wang sebagai wang haram yang diterima oleh parti politik. Di dalam konteks Malaysia, beliau merujuk politik wang sebagai menggunakan wang, hadiah, barangan berharga, kontrak untuk membeli undi dan sokongan dan kebiasaanya berlaku semasa kempen pilihan raya. Politik wang dirujuk sebagai rasuah politik apabila ahli politik menerima wang haram daripada individu, ahli perniagaan, atau golongan kaya yang meminta sesuatu sebangai timbal balik. Kebiasannya mereka meminta kontrak bisnes kerajaan dan juga kontrak bisnes usahasama sebagai balasan. Menurut TI-Malaysia, penggunaan wang di dalam politik tidak dipantau oleh intitusi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ianya juga tidak dipantau dengan ketat oleh parti-parti politik. Sebagai kesannya, ia akan menyebabkan pemilihan pemimpin yang bakal memimpin parti dan negara akan terjejas. Sebagai contoh, pemimpin yang berkaliber tetapi tidak mempunyai dana politik yang banyak akan tewas kepada pemimpin yang kurang ciri-ciri kepimpinan tetapi mempunyai pendanaan yang banyak. Akibatnya negara akan ditadbir oleh pemimpin yang tidak kompeten dan bakal menjerumuskan negara kepada keadaan tidak menentu.

Selain daripada itu, politik wang juga dirujuk kepada amalan membeli undi semasa kempen pilihan raya. Di Malaysia fenomena ini dilihat telah lama bertapak di dalam sistem politik negara dan ia melibatkan parti politik utama di negara ini iaitu UMNO. Ianya bermula pada tahun 1981 apabila Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) telah dilantik sebagai presiden UMNO. Beliau kemudiannya mengumumkan tidak akan menamakan timbalannya dan menyerahkannya kepada delegasi untuk memilih di dalam pemilihan agung UMNO. Dua tokoh dilihat layak untuk jawatan tersebut iaitu Tengku Razaliegh Hamzah dan Musa Hitam. Pertandingan tersebut memihak kepada Musa Hitam (kini Tun) pada tahun 1984. Merujuk kepada Milner R.S (1986:1371):

“…at the 1984 UMNO elections, the total money spent on votes was allegedly well in excess of $20 million…”.

Politik wang dalam UMNO kemudian berterusan sehingga pada 1995, dilaporkan bahawa seorang calon telah membelanjakan sehingga RM 6 juta untuk memenagi jawatan ketua bahagian UMNO Pasir Salak, Perak. Kemudian melihatkan politik wang menjadi-jadi di dalam UMNO dan tidak dapat dikawal Datuk Seri Dr. Mahathir telah mengharamkan waktu berkempen semasa pemilihan UMNO tahun 1996. Pada tahun 2001, di dalam usaha untuk mengurangkan amalan politik wang, UMNO telah mewujudkan lembaga disiplin UMNO yang bertanggungjawab untuk menguatkuasakan tatakelakuan semasa pemilihan agung parti. Jika ada laporan mengenai pelanggaran tatakelakuan tersebut, maka lembaga tersebut akan menjatuhkan hukuman mengikut perlembagaan parti. Hasil usaha ini boleh dilihat apabila Tan Sri Isa Samad dan Dato’ Seri Mohamad Ali Rustam, di dapati bersalah akibat politik wang dan mereka dikenakan tindakan tatatertib peringkat parti. Mereka telah dikenakan pergantungan daripada jawatan dan keahlian di dalam UMNO dan dilarang daripada bertanding. (Utusan Malaysia, 24 Jun 2009).

Lantaran itu, untuk kita membezakan diantara wang politik dan politik wang adalah amat penting kerana wang dalam politik amat siknifikan untuk survival parti politik tersebut. Wang politik dirujuk sebagai wang yang diterima dengan jalan sah seperti yuran keahlian, derma politik yang tidak meminta balasan, sumbangan daripada orang perseorangan untuk parti, dan dana yang diperolehi daripada majlis-majlis makan malam untuk tujuan pendanaan. Wang politik sangat penting untuk ahli politik bagi memastikan penyokong-penyokongnya dapat digerakkan semasa kempen pilihanraya. Jika hanya menggunakan wang persendirian dan sumbangan daripada parti, ianya tidak mencukupi. Kerana sebagai ahli politik kehidupan seharian mereka adalah dikelilingi oleh ahli parti dan penyokong-penyokong. Oleh itu, penggunaan wang amat penting untuk diberikan kepada penyokong seperti di kenduri-kendara, melawat orang sakit, program kemasyarakatan dan sebagainya. Sebagai contoh, sebagai seorang ADUN di sesebuah kawasan akan diberikan peruntukan ADUN untuk diberikan kepada masyarakat di kawasannya dengan cara menganjurkan program kemasyarakatan. Oleh kerana permintaan yang tinggi berbanding wang yang diberikan, maka ahli politik akan memiilih untuk mendapatkan wang haram. Di Malaysia, tidak seperti di kebanyakan negara lain, parti politik dibenarkan untuk terlibat di dalam perniagaan. Syarikat yang berkaitan dengan parti politik seperti Multi Purpose Holding Berhad dan The Star Publication oleh MCA, Maika Holding oleh MIC dan beberapa syarikat yang berkaitan dengan UMNO seperti Renong, Utusan Melayu, dan The New Straits Times Press. (Fernandez, et.al :2010). Oleh yang demikian, bagaimana untuk memastikan wang politik dan politik wang tidak bertindan antara satu sama lain? Di dalam perkara ini, TI-Malaysia telah mengusulkan supaya kerajaan Malaysia supaya mengharamkan pembiayaan rahsia yang tidak diumumkan di dalam akaun parti politik. Ini kerana pembiayaan rahsia selalunya tidak transparen dan menimbulkan pelbagai spekulasi seperti rasuah, pembiayaan asing, dan penggubahan wanng haram. TI-M juga mengusulkan supaya kerajaan menyediakaan pembiayaan untuk parti politik untuk menjamin pertandingan yang adil dan membendung masalah rasuah di dalam proses pendanaan parti politik. (Fernandez, et.al:2010). Sebagai rumsannya boleh dikatakan bahawa wang politik adalah sesuatu yang dibolehkan kerana kepentingannya untuk menyuburkan demokrasi di dalam parti politik dan negara. Tetapi politik wang yang digunakan untuk membeli undi dan sokongaan di dalam sesuatu pilihan raya adalah merujuk kepada rasuah politik kerana ianya mempunyai balasan dan upah sebagai timbal balik iaitu untuk kekal berkuasa dan memenangi sesuatu jawatan. (Mohamad Agus:2005).